Cerdik Tapi Masih Mahu Dididik - CrazyDuck -->

Header Ads

Cerdik Tapi Masih Mahu Dididik

Ramai orang Melayu kita yang suka pada barang-barang murah. Kalau berkualiti tak apa. Ni pakai sat saja bermacam masalah timbul. Abang sebagai seorang kontraktor, abang tau macamana nak nilai, kan? Soal Yusri.

Rokok, WIFI, dan Astro Lebih Penting Dari Kesihatan Keluarga


Keesokan paginya kami bertemu dengan Yusri diperkarangan hotel. Perjalanan diteruskan merentasi kawasan sawah padi yang saujana mata memandang.  Ketika ini padi sudah mula berbuah dan air sudah dikeringkan dari sawah.


Kelihatan kanak-kanak dengan alat menangkap ikan mereka seperti bubu, penyauk, dan jaring.  Pada ketika inilah ikan sawah seperti haruan, puyu, sepat, dan keli mudah ditangkap kerana ikan-ikan ini akan tertumpu ditelaga, perparitan, dan lopak air.

Hampir jam 10 pagi kami sampai ke rumah yang ditujui.  Agak besar rumah ini.  Kelihatan seperti pemiliknya seorang kontaktor bangunan kerana terdapat peralatan yang berkaitan dibeberapa sudut kawasan rumah itu.  Kami disambut oleh seorang perempuan.

“Assalamu’alaikum, kak.  Abang Mat ada rumah?”, Tanya Yusri.

"Dia pi kat bendang sat, kutit ikan.  Dia pasang bubu malam tadi.  Mai lah masuk”, jemput kak Semah.

“Tak pa la kak … bagi kami rehat-rehat sat kat luaq ni sementara abang Mat balik”, balas Yusri.





Sambil menunggu kepulangan abang Mat, kami sempat meninjau-ninjau keadaan sekeliling.  Saya perhatikan Yusri mengangguk-angguk kepala seperti mendapat idea.  

Mungkin dia sedang bersedia untuk berdepan dengan abang Mat yang difahaminya agak susah untuk membeli sesuatu sekiranya tidak mendapat penjelasan yang mantap.  Orang berniaga mungkin begitu perangai mereka, fikir saya.

“Haa … banyak ka dapat ikan?”, Yusri menegur abang Mat yang diiringi oleh dua orang anaknya membawa jaringan berisi ikan.

“Ada laa … lepaih lah sehari dua habuan buat lauk.  Eh .. hangpa dok sat no, abang nak bersihkan badan sat.  Ni penuh dengan selut-selut ni ha …”, mesra jawapan abang Mat.

Sementara menunggu abang Mat siap, kami terus membuat tinjauan.  Kemudian Yusri menuding jari kepada piring Astro.
“Tu … bahan perbincangan sat lagi.  Lagi satu … tadi nampak tak, dia isap rokok, kan?”

“Ya, betul … nampak macam kotak Dunhill”, saya membalas.  Saya sudah mengagak … Yusri melihat keadaan sekelilingnya untuk digunakan sebagai senjata jika perlu bagi memudahkan membuat jualan penapisnya.

“Cuba tengok baju sekolah anak dia”, saya mengajak Yusri mendekati ampaian. 

“Betui, tak seputih macam kat rumah Pak Aji semalam.  Ayaq kawasan ni mesti bermasalah”, sambung Yusri sambil tersenyum.


“Mai kita pi dok kat depan tu sambil kena kopi kak Mah hang buat.  Cucoq pun ada”, tiba-tiba muncul abang Mat yang tidak mahu membuang masa kami.



“Macam ni, kak Mah hang hari tu dia pi expo dan terjumpa dengan gerai hangpa yang jual penapis ni.  Dia bagi tau dengan saya dia rasa nak pasang benda ni, tapi saya tak berapa pasti sangat samada kami perlu ka dak.”

“Tu yang saya telefon pejabat hangpa kalau-kalau ada sapa boleh mai bagi penjelasan sikit pasai produk ni.  Saya tak berapa paham sangat, jadi nak beli tu teragak-agak lah jugak. Cuba terangkan pasai apa saya perlu benda penapih luar rumah ni.  Dalam rumah dah ada satu set.  Mahai juga saya beli hat tu.”

“Minta mangkuk putih satu”, pinta Yusri kepada abang Mat.  Dia kemudian ke sinki berhampiran dan mengambil air. 

“Abang dengan kakak tengok ayaq ni memang selalu macam ni ka atau macam mana?”Tanya Yusri.

“Tak pastilah pulak.  Tak pernah pun boh dalam mangkuk putih macam ni.”, jawab abang Mat secara jujur.

“OK, saya nak minta tolong kakak pi ambik ayaq dari penapih kat dalam rumah dan boh dalam mangkuk serupa ni juga”, pinta Yusri.


“La ni abang dengan akak nampak kan perbezaan antara ayaq yang saya ambil kat luaq ni dengan yang akak ambik dari penapih dalam rumah.” Ulas Yusri.


Abang Mat dan isterinya mengangguk.

“Sebab tu baju sekolah yang dekat ampaian tadi tu saya tengok tak berapa putih macam yang sepatutnya”, tambah Yusri lagi.

Abang Mat kelihatan seperti gelisah..

“Tapi kami dok pakai ayaq ni dah lama, tak dak masalah apa pun.”, ringkas jawapan dari abang Mat.

Yusri mengesan sesuatu dari perkataan abang Mat dan cara bahasa badannya yang seolah-olah tidak mahu membeli.  Manakala kak Mah pula memerhati seperti menaruh harapan agar Yusri dapat meyakinkan suaminya untuk membeli.

“Betoilah macam abang Mat kata tu, tak dak masalah apa pun yang timbui.”

“Sama juga dengan baju putih yang disangkut kat sana tu, dia bukan terus berubah menjadi kunin, tapi ambik masa.  Lama kelamaan dia akan jadi sebam, kekuningan, kena buboh nila untuk cerahkan putih dia.”

“Makanan pun ada yang boleh dimasak kurang dari dua minit, ada yang perlu rebusan berjam-jam.”
“Kesihatan kita ni serupa dengan jenis yang masak berjam-jam.  Ambil masa yang lama baru penyakit tu timbul – penyakit kronik macam kencing manis, sakit jantung, barah, atau buah pinggang.  Bila kena saja penyakit jenis ni, memang parah –  dari segi kekuatan fizikal dan juga wang ringgit.”

“Lain pulak kalau yang jenis gatal-gatal kulit sebab alahan, yang tu cepat datang dan cepat sembuh.”Yusri memulakan hujahnya. 

Kelihatan wajah kak Mah mula berseri-seri bila dia melihat abang Mat diam dan tanpa ekspresi membantah.

“Abang Mat ada kawan yang dok tepi bukit tak?”, Tanya Yusri.

“Ada, awatnya”


“Mak-pak, tok-nenek depa yang minum ayaq bukit, ada?” Tanya Yusri lagi.


“Ya-ya … memang ada … oh … hang peringat aku satu hai, tak pa … hang sambung apa hang nak cerita dulu.”

“OK, sebelum saya sambung, saya nak tanya direct kat abang ni, abang rasa nak beli dak penapih ni?”

Yusri cuba memendekkan cerita, namun bersedia dengan hujah yang seterusnya.  Dia sekadar mahu menguji tahap keyakinan abang Mat dan dia tahu abang Mat tidak akan terus menjawab mahu membeli.

“Hang cerita la lagi pasai produk ni, pasai apa saya nak patut beli”, jawab abang Mat memberi ruang.

“OK, kalau abang izinkan, saya nak tanya abang lagi ni.” Pinta Yusri penuh hormat.

“Boleh …”

“Mengikut apa yang abang faham setakat ni, kalau abang melabur duit dalam alat ni, abang rasa rugi atau macamana.  Abang rasa benda ni mahai ka atau abang rasa tak begitu bernilai?” Soalan Yusri lebih kepada mencari pengertian apa yang tersirat dihati abang Mat.

“Maksud hang macamana?”, soal abang Mat tidak mahu menjawab terus takut kata-katanya nanti mengandungi unsur kekasaran.

 “OK… saya tak pasti apa yang ada dalam fikiran abang Mat la ni, tapi saya boleh buat andaian macam ni…  Saya anggapkan dalam fikiran abang, abang anggap benda ni tak begitu bernilai.  Mahal-murah itu soal kedua, sebab saya tau abang memang mampu membelinya kalau abang nak.”

“OK, betui …” jawab abang Mat.

“Kalau macam tu, mai tengok video ni.”  Yusri mengeluarkan i-Padnya dan mempertontonkan kepada abang Mat dan kak Mah.


Rokok, Astro dan WIFI

“OK, sekarang abang Mat ada pakai Astro, isap rokok dan tadi saya tengok anak abang guna internet yang memerlukan WIFI.  Semua ni perlu belanja bulanan.” 


“Tiap-tiap bulan Astro sekurang-kurangnya abang keluarkan antara RM 50 ke RM 100 bergantung pada channel apa yang abang ambik.  Rokok sekotak RM 12, sebulan antara RM 300 – 400 kalau abang isap sekotak atau lebih sikit.  WIFI antara RM 70 – 150 bergantung pada kadar penggunaan.“

“Jadi setiap bulan abang berbelanja antara RM 420 sehingga RM 650 untuk tiga perkara ni.  Untuk penapis ni, kalau abang unjurkan bajet untuk 12 bulan, sebulan baru dalam RM 133.”

“Abang dan akak dah tengok video ayaq kotoq yang ditapis tadi, kan.  Sebelum ni memang abang dan akak tak nampak … dia akan keluaq macam tu selepas seminggu ke 10 hari masa kit abuat backwash, walaupun sekiranya ayaq dalam mangkuk tadi tak nampak kekuningan macam tu.”

“Jadi, abang nampak kan nilai pelaburan yang RM 133 ni bagi, berbanding dengan RM 420 – RM 650 sebulan yang abang dok belanja sekarang.  Adakah kerana RM 133 sebulan untuk bajet setahun abang rela bagi keluarga abang makan dan terus mendedahkan abang dan keluarga kepada penyakit kronik?.  Penapis dalam rumah tu hanya mampu untuk guna buat ayaq minuman sahaja.”

“Ada banyak lagi faedah lain yang abang akan dapat tengok nanti bila abang dah pasang penapih ni”, sambung Yusri yang melihat riak abang Mat sudah berlembut manakala wajah kak Mah terus berseri.

“Betui lah tu … hang ni memang pandai”, puji abang Mat yang secara tidak langsung memberi gambaran dia bersetuju untuk membeli penapis itu.

“OK, harga macamana?” 

“La ni pelaburan yang abang perlu buat cuma RM 1,600 saja”, jawab Yusri.
“Eh … awat mahai sangat?”

“Nak hat murah pun ada, tapi kami tak berapa suka juai yang jenis murah.  Kualiti dia tak sama dengan yang ni.  Nak yang RM 700 pun ada.” Tegas jawab Yusri.

“Ramai orang Melayu kita yang suka pada barang-barang murah.  Kalau berkualiti tak pa.  Ni pakai sat saja bermacam masalah timbul.  Abang sebagai seorang kontraktor, abang tau macamana nak nilai, kan?”, Tanya Yusri memantapkan hujahnya.

“Hmm… betoi lah… sebab tu kita tengok kereta murah selalu masuk wokshop, yang mahal pun masuk juga tapi tak selalu.  Bawak pun rasa perbezaan dia.”

“Dalam bisnes pembinaan, saya pun kalau customer nak yang murah memang saya boleh bagi, tapi saya tak jamin kualiti.  Masalah timbul tanggung sendiri, saya bagi tau kat depa macam tu siap-siap.”

Air Sihat Dari Bukit


“OK, kita balik pasal cerita ayaq bukit.  Hang tanya tadi mesti ada sebab, boleh cerita sikit pasai apa?”Pinta abang Mat.

 “Orang dulu-dulu tak minum ayaq yang kita minum hari ni.  Kebanyakan depa guna ayaq telaga atau ayaq bukit.  Ayaq ni sihat mengandungi mineral cukup oksigen dan pH yang baik.  Ayaq yang dikatakan hidup.  Itu antara sebab orang dulu umor panjang dan sihat tubuh badan.  La ni, ada lagi yang ambil ayaq bukit untuk minum dan masakan”, cerita Yusri.

“Saya ada kawan di Sabah yang hidup depa miskin guna ayaq bukit, tapi dah umoq dekat seratus taun pun masih kuat lagi.  Dekat kawasan Ulu Yam, ramai orang yang saya nampak tadah ayaq bukit khas untuk masak dan minum”, sambung Yusri.

“Sebenarnya hang peringat saya pasai cerita tentang orang Hunza di Pakistan.  Depa ni kalau sebut umoq seratus taun, biasa saja.  Rahsia depa ialah ayaq yang depa minum tu”, balas abang Mat.


"Sebenaqnya saya memang nak beli pun alat penapih ni, tapi saja saya nak tengok cara hang menjuai ni macamana, yakin ka dak dengan produk yang hang juai ni.  Tu saja. Baguih lah … hang pandai meyakinkan customer”, sambung abang Mat sambil bangun dan bersalam dengan Yusri mengucapkan tahniah.  

Dia kemudian berbisik sesuatu pada kak Mah, mungkin supaya mengambil wang pembayaran.

Lima Perkara Sebelum Lima Perkara

Hal bisnes sudah selesai dan hari masih belum tengahari.


“Hangpa ada nak pi mana lagi lepas ni?”  Tanya abang Mat.

“Tak dak nak ke mana, kecuali balik, awat aih?”, Kamsul mencelah.

“Makan tengahari kat sini lah no … tu ikan segar baru tangkap tadi.  Kak Mah hang dah pesan, dia masak lebih hari ni untuk hangpa”, pelawa abang Mat.

“Bukan apa, saya suka tengok hangpa ni, muda-muda berniaga … nak tau juga latar belakang macamana.  Ya lah, kita kongsi pengalaman.  Tak kan lepas dapat sale terus nak balik, betui dak?” Kami semua senyum sahaja mengiyakan pertanyaan abang Mat.


“Bila tengok video tadi, ayaq yang dalam mangkuk tu, dan cerita pasal ayaq bukit, saya sebenarnya teringat akan satu khubah Jumaat, tajuk dia Lima Perkara Sebelum Lima Perkara, iaitu:-

• Muda sebelum engkau tua,
• Sihat sebelum engkau sakit,
• Kaya sebelum engkau miskin,
• Kelapangan sebelum engkau sibuk, dan
• Hidup sebelum engkau mati… (Riwayat Al-Hakim).”

Belum pun sempat abang Mat menghuraikan inti hadis ini, kak Mah keluar dengan hidangan tengahari.  Abang Mat akan menyambung cerita ini selepas makan nanti.

Sambil menikmati makanan tengahari, jelas kepada saya bahawa abang Mat ini bukanlah dari jenis yang bodoh sombong.  Cara pertuturannya melambangkan dia seorang yang terdidik dan banyak pengalaman.  Namun dia suka menerima idea dan pendapat orang lain. 

Orang sebegini saya anggapkan sebagai si cerdik yang terus mahu dididik. Sangat berbeza dengan si bodoh yang tak boleh diajar, si pandai yang tak boleh diikut.

Kesimpulan:-
  • Untuk menjual sesuatu barang, pembeli perlu disedarkan akan keperluan barang yang kita jual dan nilai yang boleh didapati oleh pembeli.
  • Pelanggan mungkin menguji keyakinan kita terhadap barang yang kita jual.
  • Persediaan mantap dari segi mental membolehkan perbincangan menjadi lancar dan pelanggan yakin dengan produk kita.
  • Kenali pelanggan dan cara perbelanjaan mereka dengan melihat keadaan sekeliling mereka.
  • Kongsikan kebaikan dan faedah yang boleh dihasilkan kepada pelanggan.
  • Harga bukan faktor utama kenapa seseorang itu membeli.

Episod terdahulu: (klik pada tajuk yang anda mahu baca): 

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.