Kerana Terdesak Tabung Masjid Menjadi Sasaran
Terdesak dengan keperluan tetapi malu untuk meluahkan? Kerana sesuatu kejadian diluar jangkaan lalu tidak tahu mana hendak dituju? Mencuri itu memang salah. Tetapi kenapa hanya itu ruang yang ada bagi sesetengah orang untuk selesaikan masalah?
Desakan Hidup Boleh Membuatkan Orang Bertindak Diluar Jangkaan
Selesai solat Jumaat aku menunggu Pak Samad di kereta. Dia kelihatan berjalan dengan seseorang yang tidak aku kenali.Sebelum berpisah dengan orang itu, aku ternampak dia menghulurkan sesuatu. Mungkin duit. Jika ikut warnanya, seperti note RM 50.
Mereka kemudian berpelukan. Tapi kenapa?
“Siapa tadi tu PakMad?” Saja aku bertanya kerana dia terus diam dan seperti memikirkan sesuatu.
“Oh… aku hulurkan bantuan.”
“Tapi setahu saya PakMad bukan kenal dengan orang tu.” Aku menjawab.
“Betul lah tu. Mana mungkin aku kenal dengan dia, aku bukan orang sini pun.”
Dalam perjalanan pulang Pak Samad mengajak aku berhenti di sebuah warung dan mengambil sudut terpencil. Aku ikut saja kehendaknya. Lalu dia pun bercerita akan hal lelaki yang dihulurkan bantuan tadi.
Mengambil Wang Masjid Selepas Solat Jumaat
“Selepas kau keluar tadi, aku buat solat sunat lepas Jumaat. Kemudian aku buat lagi solat sunat meninggalkan masjid.” Pak Samad memulakan ceritanya.“Dua solat sunat tu aku buat di tempat berasingan. Selesai solat yang kedua dan ketika memberi salam aku terlihat lelaki tadi tu macam mengambil duit dari kotak pungutan.”
“Kotak tu terletak di sudut dinding. Dia tak perasan yang aku sudah ternampak perlakuan dia.”
“Dan kotak itu aku kenal. Lagi pun hanya ada satu kotak di situ. Selepas dia pergi, aku pergi ke kotak tu, dan mendapati duit RM 10 yang aku masukkan dah tak ada kat dalam.”
“Aku pun mengekori dia. Aku nampak dia dalam keadaan yang sangat gusar. Memang aku pasti dia sudah ambil duit tadi.”
“Lalu terdetik dihati aku untuk bertanya. Mungkin dia sangat memerlukan duit untuk hal yang terdesak.”
“Tapi entah macam mana… aku tak jadi untuk bertanya. Sebaliknya aku seluk kocek … cekau apa yang ada, pegang tangan dia dan suruh dia ambil duit RM 50 dari tangan aku.”
“Kau tau apa jadi lepas dia tengok duit tu?” Pak Samad cuba untuk menduga kefahaman aku. Atau apa hukuman nak aku berikan. Aku hanya menggelengkan kepala lalu dia meneruskan ceritanya.
“Dia pandang aku dengan penuh kehairanan. Sambil memeluk aku, dia ucapkan terima kasih berulang kali. Air matanya mengalir.”
“Kemudian dia masuk semula ke dalam masjid. Mungkin untuk memulangkan duit RM 10 yang diambil tadi, solat syukur… atau apa, aku tak tahu dan tak perlu ambil tahu.”
“Yang pasti… aku yakin sedekah aku tadi tersangat bermakna bagi dia.”
Mestikah Kita Membantu Hanya Orang Yang Terdekat?
Aku terdiam. Teringat aku akan hal orang yang mencuri duit RM 20 yang dipenjarakan selama 14 hari. Juga beberapa kes lain yang melibatkan kecurian duit di masjid.
Bermacam persoalan timbul difikiran aku. Yang pasti… sekeping duit RM 50 bagi sesetengah orang tidak cukup untuk membayar sehidangan makanan.
Manakala bagi sesetengah orang pula duit sebanyak itu yang datang tiba-tiba ibarat terangkatnya bebanan yang seakan tidak tertanggung lagi dari bahunya.
Hasil dari perbualan dengan Pak Samad aku menulis artikel ini. Banyak lagi cerita yang disampaikan pada aku selepas dia pulang dari “Bersuluk Sendirian Di Puncak Gunung.”
Ikuti blog ini (bookmark) untuk cerita selanjutnya atau yang terdahulu. Ada lebih kurang 200 artikel semuanya. Berkisar tentang kemasyarakatan dan personal development. Juga terselit beberapa tips tentang business.
Menghukum Itu Mudah Memahami Itu Susah
Hanya orang yang pernah terdesak akan memahami apa itu erti kesusahan dan kesempitan.Apakah dengan menghukum akan mengurangkan keperitan seseorang yang sedang terdesak?
Apakah dengan menghukum akan memperbaiki ekonomi masyarakat?
Apakah dengan menghukum akan mendekatkan mereka dengan masjid? Menjinakkan mereka untuk belajar mencari ilmu yang mampu menjana pendapatan?
Usah menambah beban orang jika kita tidak mampu membantu. Usah diletakkan garam pada luka mereka jika kita tidak mempunyai ubatnya.
Setiap individu ada pandangan tersendiri. Dan pandangan itu pula bergantung kepada latar belakang dan pengalaman.
Yang tak pernah susah, apatah lagi yang hidup senang dengan rasuah… tidak akan memahami atau mahu memahami. Kenapa rasuah tiba-tiba timbul?
Sebab aku pernah diberitahu oleh seorang pemilik pusat pemulihan akhlak persendirian yang gejala rasuah sangat hebat. Sehinggakan Pejabat Agama sendiri tidak terkecuali.
Orang politik… tak payah cakap lah.
Sikap mementingkan diri sendiri sudah menjadi sangat menebal. Wang ringgit dan pangkat menjadi sasaran kehidupan. Halal haram… itu lain cerita. Yang penting nampak dan boleh sembang hebat, bergaya, kaya dan berjaya.
Err… ayat last kat atas tu membuatkan anda teringatkan seseorang? Biarkan. Mereka orang terlajak pandai. Kita jaga diri sendiri sudah.
Seorang penganggur mengaku bersalah mencuri tabung masjid mengandungi wang RM20, pada 20 Julai lalu.
Kisah Duit Banyak Tapi Untuk Kebanggaan Masjid
Berikut adalah petikan dari posting seorang sahabat di Facebook. Tulisan penuh boleh di rujuk di penghujung artikel ini.Masjid Zahir, Alor Setar Kedah. Gambar hiasan oleh: Hafiz Radzi
Masjid kita punya dana. Sesetengahnya punya dana yang sangat besar sehingga lebih RM 20,000 sebulan hasil derma orang ramai.
Setiap Jumaat, masjid yang besar-besar perolehi jumlah kutipan derma mencecah ribuan ringgit.
Sesetengah masjid sampai sampai tak tahu nak buat apa dengan dana yang ada.
Maka ditukar pagar baru, di'upgrade' tandas-tandas, ditukar karpet baru, dipasang lampu-lampu, diupah penceramah luar yang bayarannya hingga beribu.
Sedang asnaf, rumahnya hanya di depan pagar masjid. Telan air liur tengok masjid elok ditukar cat baru. Sedangkan beras secupak di dapur pun hutang dengan kedai runcit.
Mengapa kita tidak mencontohi gereja? Begitu mudah mereka menyalur bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. Hanya tinggalkan nama dan nombor telefon sahaja.
Ambillah duit dalam kotak itu berapa yang diperlukan. Tidak ditanya kerja apa, tidak ditanya mengapa.
Esoknya pihak gereja call pula, tanya tentang kehidupan. Masih sempit atau sudah lega. Kalau sempit dijemput ke gereja ambil dana lagi.
Mudah kan? Jangan pelik lagi kalau ada yang murtad. Itu salah satu punca. Dan sudah kita ketahui bahawa “kemiskinan itu punca kekufuran.”
Ini kisah masjid yang kaya raya. Masjid yang hanya cukup untuk bayar bil api dan air sahaja, itu lain cerita.
Apa Ada Dalam Fikiran Anda Tentang Peminta Sedekah
Pastinya anda pernah bertemu dengan peminta sedekah di kawasan masjid. Apa yang berputar dalam fikiran ketika melihat mereka?“Syukurlah aku tak sampai tahap ini untuk meneruskan kehidupan?”
Atau…
Dalam fikiran anda berbunyi seperti salah satu ungkapan berikut?
• Dasar pemalas. Tengok macam aku ni kerja kuat dan rajin. Sudahlah pandai. Apa buat semua jadi.
• Tak malukah dia? Bikin malu bangsa saja.
• Badan bukan main sihat tapi buat kerja hina macam ini.
• Pergi mampus lah kau tak kuasa aku nak layan orang macam kau
• Eleh… ini mesti ada sindikit di belakang orang ini.
• Tak ada fikir apa-apa dan anda terus dengan kehidupan sendiri.
Atau…
• Tanpa banyak soal anda terus menghulurkan seberapa ikhlas yang mampu ketika itu dan berlalu, atau…
• Selepas menghulurkan sedekah ikhlas, anda menghampiri orang tersebut dan bertanya untuk mengambil tahu akan hal kehidupannya, atau…
• Kebetulan tidak membawa wang (dompet tertinggal) tetapi mampu memberikan senyuman dan mendoakan kemurahan rezeki baginya.
Dan adakah…
Kita akan jadi orang pertama yang mengambil gambar atau video rakaman bila ada episode mencuri lalu memuat naik ke dalam media social? Tambah-tambah lagi bila ada kejadian menghentam si pencuri.
Dengan harapan kita menjadi orang pertama yang membuat lapuran dan mahukan ianya menjadi viral?
Penutup & Kesimpulan
Ketika kita sibuk dan berseronok dengan aktiviti harian serta bahagia dengan keluarga, ada insan di luar sana yang sedang kebuntuan. Tersepit dan terdesak dengan tekanan ekonomi. Atau sesuatu musibah tiba-tiba melanda. Malu untuk meminta. Terasa dihina sekali pun bantuan yang diminta diberikan.Jangan bangga dengan banyaknya solat, puasa, dan zikir kerana itu semua belum membuat Allah senang. Petikan dari rujukan No. 2.
Nabi Musa bertanya: “Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau senang?”
Allah SWT menjawab:-
• Solat mu itu untuk kamu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara dari perbuatan keji dan munkar.
• Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang.
• Puasamu itu juga untuk kamu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu.
Nabi Musa bertanya lagi: “Lalu apa yang membuat hati-Mu senang Ya Allah?”
Allah SWT menjawab:-
Sedekah, infaq, zakat serta perbuatan baik mu. Itulah yang membuat Aku senang. Kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan mengganti dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262).
Jadi, bila kita sibuk dengan ibadah ritual dan merasa bangga akan perlakuan itu... maka itu tandanya kita hanya mencintai diri sendiri, bukan Allah.
Tetapi, bila kita berbuat baik dan berkorban untuk orang lain... maka itu tandanya kita menyintai Allah dan tentu Allah akan senang kerananya.
Buatlah Allah senang (suka) maka Allah akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidupmu lapang dan bahagia.
Memberi bantuan kepada gelandangan di kawasan KTM berhadapan City Square Johor Bharu. Gambar oleh Tisha Rahman.
Memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan di Kuala Lumpur. Gambar oleh Dharma Syamim fikr.
Rujukan
1. Ucapan MB Kelantan, Dato' Ahmad Yakob, dalam sidang DUN.
2. Kisah Ahli Ibadah Bernama Abu Hasyim Yang Kuat Tahajjud
Nak share? Silakan... sentuh salah satu butang di bawah. Terima kasih.
Thank you for your comments