Seorang Wanita di Perhentian Bas - CrazyDuck -->

Header Ads

Seorang Wanita di Perhentian Bas

Sebuah bas berhenti dan beberapa orang lelaki turun. Salah seorang dari mereka meninggalkan satu bungkusan plastik yang berisi sesuatu. Setelah menoleh ke kiri dan kanan, wanita tadi mengambil bungkusan yang ditinggalkan di atas tempat duduk, tanpa menyedari yang dia sedang diperhatikan.

Sebungkus Makanan Yang Telah Dibuang

Sambil mengekori Yusri untuk ke pusat bandar Alor Setar, isteri saya membuka mulut, menceritakan kisahnya sewaktu berada di kawasan masjid sewaktu Zohor tadi. Katanya, dia jemu berada dalam kereta dan bertindak keluar. Kerana “keuzuran”, dia kemudian berfikir untuk berjalan-jalan di kawasan berhampiran masjid.

Dipinggir jalan dia ternampak sebuah perhentian bas dan ketika itu sebuah bas berhenti dan beberapa orang lelaki turun. Salah seorang dari mereka meninggalkan satu bungkusan plastik yang berisi sesuatu.

Dari jauh, isteri saya memerhati seorang wanita yang dari tadi duduk termenung bersendirian. Setelah menoleh ke kiri dan kanan, wanita tadi mengambil bungkusan yang ditinggalkan di atas tempat duduk, tanpa menyedari yang dia sedang diperhatikan oleh isteri saya.

Isteri saya melihat sahaja kerenah wanita itu memakan makanan yang dikeluarkan dari bungkusan tadi kerana tidak mahu menggangu dan menjatuhkan air mukanya. Beberapa minit kemudian, setelah wanita itu selesai makan isteri saya mendekati perhentian bas dan menegur wanita itu.

“Nak ke mana ni dik?”, ringkas isteri saya menegur.

“Tak pi mana aih, saja duduk-duduk tang ni …”, jawab wanita itu acuh tak acuh, sambil memalingkan wajah ke tempat lain.

Dari air muka wanita itu dan gaya bahasa badannya, isteri saya dapat meneka yang dia sedang dalam kesusahan dan kesedihan tetapi tidak mahu berkongsi apa yang ada dalam fikiran atau perasaannya. Apatah lagi untuk menceritakan yang dia baru sahaja memakan makanan buangan orang.

Mengerti yang wanita itu mahu bersendirian, isteri saya lalu menyeluk beg tangannya dan mengambil sampul surat yang siap berisi wang.

“Dik … ambil ni, akak hadiahkan.”

“Apa ni kak … tak payah lah”, jawab wanita itu ringkas sambil berundur.

“Tak … tadi akak ingat nak sedekahkan kat masjid, tapi orang ramai sangat. Dah jumpa adik kat sini, akak nak teruskan juga niat akak untuk bersedekah, ambik lah – sungguh-sungguh akak ikhlas ni”, terang isteri saya.

Wanita itu merenung wajah isteri saya dan entah apa yang bermain di kepalanya, isteri saya turut mengalirkan air mata apabila wanita itu mula sebak, menangis dan memekup wajahnya sambil berkali-kali mengucapkan terima kasih.

“Alhamdulillah …akak kena pergi sekarang ni, tu suami akak dah sampai kat kereta”, isteri saya menamatkan adegan drama air mata di perhentian bas itu.

Sebenarnya isteri saya memberi tahu bukan dia tidak mahu untuk terus menemani wanita tadi, tetapi sesuatu yang agak “ajaib” seolah-olah telah berlaku.

“Abang tau … selama ni kita selalu saja komplen atau dengar orang bercerita kat kita … itu tak cukup, ini tak ada, makanan tak sedap dan segala macam lagi yang kita tak puas hati…”, isteri saya terdiam di situ tanpa menghabiskan ayatnya.

“OK… apa yang awak nak bagi tau ni, sambunglah … saya sedia mendengar ni”, ujar saya.

“Ye lah… tapi terlebih dahulu saya nak minta maaf dengan abang.”

“Ait… apa hal pulak ni, nak sambung cerita pun nak kena minta maaf dulu?”, saya bertanya dengan nada kehairanan.

“Entahlah bang… susah nak sambung “, jawab isteri saya sambil saya melihat pipinya digenangi air mata.

“Saya bersyukur bang… hidup kita sememangnya sangat bahagia dengan anak-anak kita yang mahu mendengar cakap dan tidak berperangai yang ketidaktahuan. Kita tidak pernah kesempitan duit dan kalau ada semput pun selalunya mendapat rezeki yang kekadang kita sendiri tak jangka yang ia akan datang.”


Kadang-kadang terdetik dihati saya hendak itu hendak ini, walaupun tidak saya ucapkan, tetapi ia datang dalam fikiran. Apa yang berlaku tadi cukup menyedarkan saya bang.

Ada orang yang hidupnya sangat susah dari kita, sehingga terpaksa memakan makanan yang telah dibuang orang. Tidurnya pun belum tahu dimana.”

“Ianya seolah-olah apa yang saya komplenkan walaupun secara diam dalam hati tetiba datang dipertontonkan di hadapan saya. Mana mungkin saya makan makanan yang saya tahu telah dibuang orang, abang boleh?”

Hidayah dan Petunjuk – Datangnya Berbagai Cara

“Hmmm … hebat juga awak ni ya, boleh sampai ke situ fikiran. Nampaknya kita dua-dua dapat pengajaran dari perjalanan kali ni”, balas saya kepada isteri saya sambil teringatkan wajah jenazah yang tenang diperkuburan tadi.

“OK, sebenarnya awak ni seorang yang bersyukur dan tahu berterima kasih”, sambung saya.

“Maksud abang?”

“Tadi awak sedekah duit pada perempuan tu, kan? Dan awak juga berkata apa yang berlaku tadi seperti dipertontonkan Allah tentang kesusahan orang lain, lalu awak menangis. Awak juga meminta maaf tentang hal-hal yang awak komplen walaupun komplen itu hanya dalam hati. Awak juga ada menyebut yang rezeki kita sentiasa murah. Betul?”

“Betul lah tu … tapi saya masih tak dapat tangkap apa yang abang maksudkan.”

Kesimpulan

“Sebenarnya apabila kita bersyukur dan menghargai apa yang sudah kita miliki, seperti mana yang awak sebutkan dan lakukan tadi atau menyedari sesuatu itu perlu dilakukan dan kita melakukannya … hidayah dan petunjuk akan datang kepada kita dalam berbagai bentuk. Hidup kita akan terus tenang tanpa banyak keluh kesah.”

“Tapi janganlah pulak kita selalu sangat atau selama-lamanya mahu berada di zon selesa, berpuas hati dengan apa yang ada padahal kita mampu melakukan sesuatu pada tahap yang lebih tinggi dan mencabar.”


“Bila kita buat apa yang lebih mencabar ianya bererti kita menghargai pemberian Allah terhadap kemampuan dan kebolehan kita untuk lebih berdaya saing.”

Berhenti pada zon selesa sama seperti pembaziran dan tidak mensyukuri nikmat keupayaan yang dikurniakan Allah kepada kita.”

“Tak berjaya tak apa, yang penting kita terus mencuba. Kita rancang dan buat, hasil dan masanya Allah yang akan tentukan – itu antara maksud ayat Seribu Dinar.”

Saya berhenti mengomel di situ ketika Yusri membelok masuk ke perkarangan hotel.

“Pukui berapa nak jumpa esok pagi?”, soal Yusri selepas keluar dari kereta.

“Janji dengan customer waktu bila?”, tanya saya.

“OK, pukui 9 elok lah … dari sini nak pi tempat dia dalam satu jam. Janji dengan dia pukui 10”, balas Yusri.

Kami semua bersetuju untuk berkumpul di hotel besok pagi sebelum bertolak menemui seorang bakal pelanggan Yusri.

Kamsul berpindah masuk ke kereta kami dan perjalanan diteruskan untuk kami bermalam di rumah Kamsul.

… bersambung. Ikuti cerita selanjutnya ... KLIK tajuk di bawah.
Kisah seorang pelanggan Yusri yang lebih mementingkan Astro dan rokok berbanding dengan hal kesihatan keluarga.

Episod terdahulu:
  1. Perjalanan Ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Disember 2013
  2. Hasil Dari Pertemuan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
  3. Burung Tempua Bersarang Rendah
  4. Persediaan Mantap, Allah Mudahkan Urusan
  5. Mati Itu Satu Kemestian

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.