Dari Gelandangan Kepada Jutawan
Gambar asal dari FB Lufti Lokman |
“Kau pernah dengar nama Rambo, kan?” Pak Hamid menjawab soalan aku tentang macamana dia dapat semangat untuk bangkit dari kemurungan akibat dikenakan VSS.
Aku angguk saja. Tapi dalam kepala, ingatan yang pertama keluar ialah image teh tarik Rambo Stations. Bukan John Rambo dalam filem First Blood tu.Aku tak pernah ke Rambo Stations. Tapi terjumpa gambar teh tariknya ketika aku mencari maklumat untuk menulis pasal “Kawan Ketawa Senang Dicari Kawan Menangis Bolehkah Ditemui.”
Anggukan aku membuatkan Pak Hamid terus bersemangat.
Aku tak mahu jawapan (bersuara) mengganggu “train of thought” yang ada dalam kepalanya.
“Dalam waktu aku kebingungan tak tentu arah nak buat apa selepas VSS, aku banyak membaca. Cari ilham, petunjuk dan semangat.” Pak Hamid meneruskan dialognya.
Berikut adalah dialog tanpa henti dari Pak Hamid...
Ada dua cerita yang sangat mempengaruhi aku. Ia membuatkan aku mula bertindak dan fokus dengan apa yang aku buat.
Sebabnya… dalam asyik membaca dari satu cerita ke cerita yang lain tentang kisah orang bangkit dari kejatuhan aku jadi pening. Terlampau banyak nasihat, panduan, “how to” yang aku dapat.
Kumpul ilmu dan maklumat. Dah banyak ilmu tak tahu nak ambil tindakan. Information overload.
Nak buat yang ini rasa itu yang betul. Dah buat yang itu yang lagi satu pula minta didahulukan.
Last-last, pegang lepas apa pun tak jadi dan kemurungan aku makin meningkat.
Maklumlah… belum nampak bayangan hasilnya. Masa tetap berjalan. Duit hari-hari mesti keluar. Masuknya tak ada.
Bini aku pula kesunyian kerana aku terlalu tertekan mahu mencari ilmu untuk menghasilkan sesuatu. Hidup aku jadi tak seimbang.
“Apa kaitan Rambo ni dengan kemurungan PakMid?” Aku bertanya untuk hilangkan kecelaruan pemahaman.
Ceritanya agak panjang, kau nak tahu ke? PakMid mahukan kepastian.
“Silakan…” Aku memberi ransangan dan bersedia mendengar.
Berehat Uraikan Kekusutan Dari Information Overload
Ya… setelah banyak ilmu dan maklumat aku kumpulkan… aku ambil masa berehat sekejap.Aku jauhkan diri dari computer untuk seketika. Mengulang balik apa yang aku boleh ingat dari pembacaan aku. Aku bawa bertenang dengan berzikir.
Satu demi satu pembacaan aku muncul dalam fikiran dan aku mula dapat mengolah jalan penceritaan.
Jalan yang bakal aku lalui. Jalan yang mungkin boleh menghasilkan sesuatu. Bukan kumpul maklumat untuk jadi simpanan.
Simpan duit ada juga keuntungan. Simpan maklumat sesakkan hard drive saja.
Dua cerita yang aku maksudkan tadi ialah kisah pasal Sylvester Stallone (SS) ketika jadi gelandangan dan Burung Helang yang melalui fasa 5 bulan yang menyiksakan demi mahu terus hidup.
Sylvester Stallone – Rocky dan Rambo
SS ni diceritakan pernah tidur di stesen bas. Tak mampu bayar sewa dan beli makanan untuk diri sendiri dan anjing kesayangannya. Lalu anjing itu pun dijual.Dia kemudian menulis skrip untuk filem selepas menyaksikan perlawaan tinju antara Mohammed Ali dan Chuck Wepner.
Dia mengambil masa hanya 20 jam untuk menyiapkan skrip itu ketika mengasingkan diri dari segala gangguan. SS kemudian ditawarkan sebanyak $125,000 untuk skrip tersebut oleh sebuah studio.
SS bersetuju tetapi dengan syarat dia menjadi pelakun utama – Rocky. Tetapi syaratnya ditolak kerana pada mereka SS tak punya kaliber sebagai seorang bintang.
“Kamu ni kelihatan pelik dan cara kamu bercakap juga pelik.” Dan dia pulang bersama skripnya.
Seminggu kemudian SS diberi tawaran pada harga $250,000 yang kemudian dinaikkan kepada $350,000. SS tetap dengan syaratnya. Dia mesti menjadi pelakun utama dan syarat ini bukan untuk rundingan.
Harga boleh…
Lalu studio pun akhirnya bersetuju untuk menawarkan $35,000 dan menerima syarat SS.
Bermula dengan skrip yang ditulis sendiri dan menjadi watak utama dalam Rocky, akhirnya pada tahun 2015 SS mempunyai networth bernilai $400 juta.
Sekiranya dia bersetuju dengan tawaran $350,000 untuk keuntungan jangka pendek yang sangat lumayan ketika itu, kareernya berkemungkinan akan mati sebagai penulis skrip sahaja. Bukan seorang bintang.
Manusia Memang Mementingkan Diri – Dunia Ini Kejam
Perkara pertama yang dilakukannya setelah menerima tunai sebanyak $35,000 ialah mendapatkan semula anjing kesayangannya yang dijual pada $25.Setelah menunggu selama 3 hari disebuah kedai arak, lelaki yang membeli anjingnya muncul bersama anjing tersebut.
SS menjelaskan kenapa dia menjual anjing kesayangannya itu dan merayu untuk mendapatkannya semula.
Lelaki itu tidak melayan rayuan SS yang kemudian menawarkan $100. Lelaki itu tetap saja menolak tawaran SS yang menaikkan tawarannya kepada $500 dan kemudian $1,000.
Dari $35,000 yang diterima atas bayaran skrip, SS hanya ada $20,000 setelah membayar lelaki tadi sebanyak $15,000 untuk mendapatkan semula anjingnya.
Ya… lelaki ini tahu peluangnya untuk membuat untung lalu “go for the kill.” Tidak ada rasa belas kasihan bagi sesetengah orang. Cunning, shrewd, and ruthless.
Namun kerana kasih sayang SS terhadap anjingnya, dia sanggup melepaskan hampir separuh hasil pendapatannya. $15,000 bukan satu jumlah yang kecil pada tahun 70an.
Dalam nilai Ringgit hari ini mungkin mencecah ratusan ribu. Ada siapa yang sanggup tebus binatang kesayangan pada harga macam tu?
Berita palsu: Sylvester Stallone dikatakan sudah mati. |
Kuatkan Semangat dan Kekalkan Impian
SS boleh saja mengambil tawaran $350,000 terhadap skripnya dan hidup mewah. Tulis lagi skrip yang lain dan jual lagi. Tapi bukan itu yang diimpikannya. Dia mahu menjadi superstar.Hari ini setelah hampir 50 tahun sejak menjual anjingnya pada harga $25, SS menjadi bintang filem terkemuka di dunia.
Kerana dia tekad dengan impiannya dan berusaha keras ke arah itu. Maka dapatlah.
Apa yang dapat aku pelajari dari kisah SS ini ialah kesusahan itu pasti akan ada. Aku belum sampai tahap pokai sehingga terpaksa menjual sesuatu yag sangat aku sayangi. Atau aku terpaksa tidur seperti gelandangan.
Aku masih ada peluang untuk bangkit. Aku masih berupaya untuk berimpian dan punya angan-angan.
VSS memang membuatkan aku murung tetapi aku tak boleh murung selamanya dan menyerahkan nasib pada takdir.
Apa yang aku pelajari dari kisah Sylvester Stallone ini ialah:-
➤ Pokai dan menjadi gelandangan ialah sesuatu yang buruk dan aku masih bernasib baik kerana belum jatuh sehingga tahap macam itu. Alhamdulillah…➤ Dari pembacaan aku selepas kena VSS ini peluang sebenarnya sangat luas untuk aku bangkit semula.
Hanya perlu memilih apa yang sesuai dengan kebolehan aku dan adakah ianya mempunyai permintaan dalam pasaran.
Atau aku boleh mencipta permintaan itu dan kembangkan mengikut segment pasaran yang sesuai.
Ilmu yang aku kutip aku manfaatkan. Setiap langkah membuka pintu untuk peluang baru.
Mengumpul ilmu tanpa tindakan membuatkan fikiran aku jadi semakin tepu. Bercelaru dengan hala tuju. Yang akhirnya aku tetap saja di situ menunggu dan terus menunggu.
Menunggu makanan yang sudah terhidang dan berdoa serta zikir kuat-kuat supaya aku kenyang, tidak akan membuatkan aku kenyang.
➤ Kehidupan ini ada ketikanya sangat kejam. Peluang terbuka tetapi terlepas disebabkan aku bukan sesiapa.
Tak punya pangkat tak punya nama. Kuasa lagi lah tak ada. Tidak juga mempunyai harta kekayaan yang boleh ditayang-tayang buat LIVE video supaya dipuja orang.
Sebagai umpan untuk memancing.
Tapi ianya bukan alasan untuk aku mengaku kalah. Kerana ramai saja orang yang berjaya hari ini bermula dengan tangan kosong.
Minda mereka penuh dengan idea bernas dan semangat yang tak pernah padam. Sekali pun diusia senja.
➤ Ya… aku tak akan biar apa pun menghancurkan impian aku. Hanya aku yang boleh menghancurkannya. Bermula bila aku menyerah kalah dan undur diri. Give-up.
➤ Kehidupan ini bukannya setiap hari tentang cahaya mentari dan pelangi yang indah. Dunia ini memang menekan bagi ramai orang seperti aku.
Kau… aku tak tahu. Mungkin sudah ada segalanya. Mungkin juga seperti aku. Cuma kau bijak menyembunyikannya.
➤ Dan aku akan tersungkur dan mungkin terus terkubur kiranya aku membiarkan ianya berlaku.
Biarlah apa juga kesusahan dan tekanan yang mendatang, selagi aku mampu bangun dan teruskan perjalanan ini, tak akan ada siapa atau apa yang boleh menahan aku.
Kecuali sakit tenat dan mati.
Dan aku mengambil berat akan kesihatan aku, kerana itulah satu-satunya harta yang aku ada.
Duit KWSP aku akan habis jika aku tidak menggunakan kesihatan aku untuk menjana pendapatan baru.
Duit ini sebagai membeli masa sebelum aku berupaya bangkit semula. Dan macam aku cerita sebelum ni… aku sudah nampak bayangan yang kejayaan akan menjelma.
OK… kita sambung selepas solat Zohor nanti pasal helang yang tak boleh terbang. Tapi aku nak tutup kisah watak utama Rambo si Sylvester Stallone ini dengan gambar dan quote berikut:-
“You have the dream not them and they can't see what you see. You have that God given desire for a reason. Follow your heart and take daily action accordingly and truly believe that you will see those dreams become a reality.”
Sudikan tekan butang bawah ni, ya...
Thank you for your comments