Kepercayaan dan Soalan Sekumpulan Atheist Mengenai Islam - CrazyDuck -->

Header Ads

Kepercayaan dan Soalan Sekumpulan Atheist Mengenai Islam

Ketika berumur 21 tahun, Brenton Hayden sudah mempunyai perniagaan yang menguntungkan dibawah syarikat bernama Renters Warehouse. 

Dalam masa tujuh tahun berusaha, dia menjangkakan akan pencen pada ketika berumur 27 tahun dengan bekalan wang sebanyak 7 juta dollar.  Hasratnya tercapai, iaitu pada tahun 2013 dan berumur 27 tahun, perniagaannya kini bernilai 20 juta dollar. 

Konsep kehidupan bagi Brenton Hayden ialah: Selepas mati, kamu hanyalah kotoran. Tamat.  Permainan sudah berakhir.  Terima kasih dan selamat tinggal.

Ungkapan di atas sebenarnya datang daripada seseorang yang tidak mempercayai adanya Tuhan dan keujudan manusia serta sekalian makhluk di alam ini hanyalah satu kebetulan.  Tidak mempunyai asal usul penciptaan dan tidak kembali ke mana-mana selepas mati.  Apatah lagi mempercayai hati kiamat dan kebangkitan semula.

Pada mereka: Lahir, jalani kehidupan, dan mati.  Hanya individu itu yang mampu mengawal arah kehidupannya (ikhtiar) tanpa ada konsep doa, tawakkal, Qada dan Qadar.  Itulah kepercayaan seorang Atheist.
Berikut adalah soalan-soalan yang diajukan oleh sekumpulan atheist kepada seorang pemuda.  

Jawapan dari pemuda ini boleh kita gunakan sebagai pemangkin kepada iman kita dan sekiranya perlu, digunakan pada ketika yang tertentu.

1.     “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?” | Sambil tersenyum beliau menjawab, “Allah Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak.”

2.    “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”  | “Allah Taala itu wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya, mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.” Ringkas sahaja jawapan pemuda.

3.     “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?” | Soalan ini dijawab pemuda itu dengan beberapa soalan sambil dijawab oleh kumpulan Atheist.

  • “Kamu pandai mengira?” Kumpulan Atheist itu menjawab: “Tentu sekali kami pandai mengira.”
  • “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”  “Nombor 3”
  • “Nombor sebelum 3?” . “Nombor 2″
  • “Nombor sebelum 2?”.  “Nombor 1″
  • “Nombor sebelum 1?”.  “Tiada” Jawab Atheist.

“Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor itu sendiri?” Jawab si pemuda dengan senyuman.

Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada pemuda itu. Ternyata mereka silap perkiraan bila mana berhadapan dengan anak muda ini.

Pada mulanya mereka menyangka bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun sangkaan mereka ternyata silap. Mereka perlu lebih berhati-hati.

4.    “Tahniah anak muda di atas jawapan kamu sebentar tadi.  Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”| Pemuda itu menjawab: “Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

“Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah.” Sambut wakil daripada Atheis.  “Jika cahaya yang diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi ini sendiri?”, si pemuda menamatkan hujahnya.

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada pemuda itu bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.

5.    “Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”

Pemuda itu sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu melepaskan perlahan-lahan dan bertanya pada kumpulan Atheis.  “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?” “Tentu sekali.” Jawab mereka.

Pemuda itu meneruskan: “Bila mana orang sakit tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”.  “Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”, jawapan dari kumpulan Atheis.

Pemuda itu meneruskan: “Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya, namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Kelompok Atheis tertawa lalu berkata: “Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana rohnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Pemuda itu tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah daripada jasadnya bukan?  Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk kesemua Atheist tersebut bila mana mendengar persoalan pemuda tadi. Ternyata olokan mereka sebentar tadi memakan diri sendiri dan dengan keadaan penuh malu si Atheist menyambung: “Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”

Pemuda itu lalu meneruskan hujahnya: “Jika makhlukNya seperti roh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku, bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Roh serta sekalian alam ini?”

6.    “Di manakah Tuhan kamu berada sekarang?” | Pemuda itu kembali bertanyakan soalan kepada mereka: “Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”

Kelompok Atheis menjawab: “Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Pemuda itu terus menyambung: “Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya, masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini.”

7.     “Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas dihisab oleh Allah Taala di padang Mahsyar) namun bila mana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya (maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)?”

“Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya bermula dengan nombor satu bukan?  Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?” Jawab si pemuda dengan soalan.

Tentu sekali nombor itu tiada kesudahannya (infinity).  Pemuda itu tersenyum sahaja melihat kumpulan Atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan.

“Nah, kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan?  Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu.” Sambung si pemuda.

8.    “Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal.”

Sambil membetulkan kedudukannya, dengan tenang si pemuda menjawab: “Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Jawapan yang padat ini membuatkan kumpulan Atheis terus terdiam membisu seribu bahasa. 

9.    Belum berpuas hati (disamping terasa amat malu) dengan kebijaksanaan pemuda itu, kumpulan Atheis masih mahu mencuba nasib dengan soalan teerakhir mereka, “Jika kamu terlalu bijak, apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Bagi menjawab soalan ini pemuda itu meminta kebenaran untuk bertukar tempat dengan kumpulan Atheis.

“Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah. Jawapan hanya boleh diberikan bila aku berada di atas mengambil alih tempatmu.”

Kumpulan Atheist itu bersetuju dengan cadangan pemuda tersebut, lalu mereka bertukar tempat.  Pemuda itu pun naik ke atas, manakala kumpulan Atheist turun ke bawah.

Apabila sudah berada di atas, pemuda itu terus menjawab: “Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan pemuda itu ke atas) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan kumpulan Atheist tersebut ke bawah).”

Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah diterangkan oleh pemuda itu dengan penuh hikmah.

Sejak peristiwa itu, pemuda ini semakin dikenali dan namanya terus disebut hingga kehari ini.  Walau sudah hampir ribuan tahun pemuda itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. 

Pemuda itu sebenarnya ialah al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit r.a. Marilah kita menghadiahkan Al-Fatihah untuk beliau dan kepada seluruh gurunya serta kesemua muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah wafat.


Rujukan: Syeikh Nazrul Nasir Al-Azhari dan Blog ini.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.