Tasbih Berharga Hampir RM30 Ribu dan Beberapa Barangan Mistik Jarang Dijumpai - CrazyDuck -->

Header Ads

Tasbih Berharga Hampir RM30 Ribu dan Beberapa Barangan Mistik Jarang Dijumpai

Cerita tentang barangan dari alam ghaib seperti Tasbih, besi kuning, batu delima, minyak wangi Buluh Perindu dan Epal Jin dari Turki. Apakah khasiat barangan dari alam ghaib ini?
Tasbih-ajaib-dari-buah

Biar Betul Satu Set Tasbih Berharga Hampir RM 30 Ribu

Gambar tasbih yang unik dan special ini sudah lama aku simpan. Begitu juga dengan ceritanya. Aku tak tahu macamana nak bercerita. Sebabnya ialah aku bukan pakar dalam hal benda-benda pelik dan mistik.

Jadi, nak cerita dari sudut apa?

Faedah dan manfaat? Tak pernah aku tahu, rasai atau dapat faedahnya dari sudut apa sekali pun.

Menghibur? Mana ada hiburan dalam perkara mistik.

Seram? Mungkin ya… tetapi tidak pula aku merasai keseramannya.

Habis kenapa nak bercerita juga? Anda mungkin bertanya.

Oh ya… mungkin ada pembaca yang mengetahui sesuatu dari apa yang akan aku paparkan selepas perenggan ini. Perkongsian anda sangat dihargai selepas habis pembacaan nanti.

Selain tasbih yang unik, dalam artikel ini juga aku hidangkan beberapa barangan lain seperti besi kuning, batu delima, minyak wangi Buluh Perindu dan Epal Jin dari Turki.

Lawatan Ke Pusat Pameran Barangan Mistik

Sewaktu melawat sebuah pusat pameran (dan jualan) barangan mistik, aku diberitahu bahawa semua barangan ini bukan berasal dari Malaysia.

Tetapi didatangkan kepada lelaki pemilik pusat pameran itu melalui alam ghaib. Siapakah lelaki itu dan bagaimana ianya didatangkan?

Alam ghaib? Bunian? Makhluk halus? Khadam? Jin? Setan? Wali-wali? Apa lagi?

Teruskan membaca… dan jika anda mempunyai pengalaman atau pengetahuan tentang hal yang ditulis ini, kongsikanlah di ruangan komen.

Itulah tujuannya aku tulis cerita ini.

Biji Tasbih Dari Buah Menghindarkan Gangguan Sihir?

Tasbih dalam gambar di atas tadi dikatakan berasal dari Pakistan. Ianya diperbuat dari sejenis buah yang dikeringkan. Nama buah tidak diberitahu.

Tidak seperti kebanyakan tasbih yang diperbuat (dimesin) dari kayu, plastik (acuan) atau dari buah sejenis tumbuhan yang dinamakan pokok buah tasbih.

Aku hanya mendengar apa yang diungkapkan tanpa banyak soalan. Hanya mendengar. Antara percaya dengan tidak sama banyak.

“Sesiapa yang memiliki tasbih ini hidupnya akan senang. Gangguan dari makhlus halus seperti sihir dan buatan orang akan terhindar.” Kata lelaki itu.

Tasbih boleh bagi hidup seseorang senang? Terhindar dari gangguan sihir? Anda percaya? Atau ada pengalaman pasal ini?

Bagi aku… nak hidup senang, usaha kuat-kuat menggunakan ilmu yang bermanfaat. Hasilkan sesuatu yang orang mahu beli dan ada pasaran.

Err… mungkin dengan cara meyakinkan orang tentang kebaikan tasbih ini dan menjualnya dengan banyak… memang boleh buat duit dan hidup pun senang.

Pasal sihir pula, nak hindarkan dari terkena, amalkan saja ayat-ayat dan zikir-zikir tertentu. Setiap hari. Jadikan amalan. Sebatikan dengan jiwa dan diri.

Besi Kuning, Batu Delima, Minyak Wangi Epal Turki dan Buluh Perindu

Selain tasbih yang unik sepanjang 2 meter itu yang dikatakan datang secara ghaib, barangan di bawah juga dikatakan muncul dengan cara yang sama.

Setiap pagi, lelaki ini perlu memeriksa setiap pelusuk ruang pamerannya. Rak-rak dan kabinet.

Bermakna dia mesti ingat apa barang yang sedia ada pada tempat-tempat tertentu.

Benda kecil seperti besi kuning, batu-batu cincin dan juga cincin kebiasaannya datang dengan berbungkus. Samada dengan kain kuning atau hitam.

Apa Keistimewaan Besi Kuning?

Ya… memang ada orang yang percaya dan yakin akan khasiat besi kuning. Mereka sanggup membayar ribu-ribu ringgit untuk mendapatkannya.

Besi Kuning sebagai pagar / perisai ghaib?

Pengamal ilmu mistik mempercayai orang-orang penting (atau merasa diri mereka itu orang penting) bagus untuk memiliki besi kuning.

besi-kuning
Kepompong Besi Kuning. Gambar: WhatsApp Hasri

Tujuannya ialah supaya khadam yang ada bersama besi kuning ini memberikan aura positif yang luar biasa kepada pemiliknya.

Perisai ghaib dari besi kuning ini dikatakan boleh melindungi kediaman, tempat perniagaan atau pejabat pemiliknya dari dicerobohi oleh pencuri.

Juga untuk melindungi dari terkena perbuatan sihir.

Pemiliknya dikatakan boleh kebal terhadap senjata tajam dan juga mempunyai kekuatan pukulan luar biasa.

Pada aku… mereka yang mengamalkan konsep pemilikan besi kuning ini elok sangat untuk pergi ke Palestine dan menghancurkan kezaliman zionis. Tak ada pula pernah dengar kisah sebegini, kan?

Yang saja suka-suka simpan besi kuning ini untuk collection, itu lain pula jalan ceritanya. Lebih kepada hobi.

Batu Delima Punya Kuasa Ghaib Yang Ajaib?

Salah satu kegunaan Batu Delima ialah untuk menarik minyak supaya berkumpul di satu tempat. Tujuannya ialah untuk memudahkan kerja cari gali dan perlombongan minyak mentah.

Woo… dasyat eh? Ajaib betul kalau betul. Benar atau tidak itu aku tak tahu. Tetapi agak kurang masuk akal bagi aku.

Ceritanya begini…

Satu petang aku jalan-jalan di Templer Park.

Puas pusing-pusing, aku berhenti di tempat makan yang disediakan khas di situ. Siapa yang pernah pergi ke Templer Park pastinya tahu apa yang aku maksudkan ini.

batu-delima-asli
Batu Delima. Gambar: WhatsApp Hasri

Ada beberapa orang sedang berbual. Sambil makan dan minum aku mendengar mereka berbicara pasal Kerabat dari Brunei sedang mencari batu delima asli.

Sanggup bayar berapa pun harga asalkan Batu Delima yang asli. Logiknya ada.

Kerana ia sangat bagus lagi menjimatkan. Tapi... macamana?

Batu Delima ini dikatakan untuk menyeru dan panggil semua minyak supaya berkumpul pada satu tempat yang mudah untuk kerja pengumpulan. Tinggal sedut saja. Maka tak perlu membazirkan duit.

Perlombongan di laut dalam sangat mahal. Sebiji platform cari gali berharga ratusan juta ringgit. Billion pun ada juga.

Cuma dalam fikiran aku… adakah company besar seperti Shell, Exxon-Mobil, Petronas mengamalkan ilmu ini atau mereka mempunyai Geologist yang mahir untuk mengenal pasti tempat bagi pembinaan logi cari-gali.

Soalan masih belum terjawab bagi aku… tapi mungkin orang lain sudah tahu malah mengamalkan konsep kumpul minyak menggunakan keajaiban Batu Delima asli (original) ini.

Ciri-Ciri Batu Delima Asli

Gambar di bawah ialah salah satu dari petunjuk samada sebiji Batu Delima itu asli atau tidak.

Batu Delima asli apabila dimasukkan ke dalam air, warna air akan berubah menjadi pink. Air kembali cerah apabila Batu Delima itu dikeluarkan.

cara-menguji-batu-delima-asli
Ujian Untuk Keaslian Batu Delima. Gambar: FB Az.Azmi

Batu Delima Asli Sebagai Cincin – Pemurah Rezeki?

Batu Delima sering dibuat cincin. Ada kepercayaan yang cincin dari Batu Delima ini dapat membantu si pemakainya mendapat rezeki dengan mudah.

Rezeki yang dimaksudkan ialah seperti hajat yang cepat tertunai, menemui jalan keluar bagi sesuatu masalah, terhindar dari bala bencana, orang cepat mesra dengan si pemakainya oleh kerana aura positif yang terpancar pada wajah dan bermacam lagi.

Tidak terhad kepada pendapatan wang ringgit sahaja.

Pendapat aku?
Nak murah rezeki kena kerja dengan baik, menghasilkan (menjual) sesuatu yang disukai ramai orang, akhlak yang mulia, tidak kedekut dan rajin bersedekah. Suka membantu. Bercakap dengan berbudi bahasa. Hormat pada ibu-bapa. Tepati janji dan jangan scam orang.

Berpakaian kemas bila berurusan dengan orang-orang tertentu. Dan jika cincin itu benar-benar berkesan, cubalah berpakaian selekeh pergi berjumpa dengan CEO company besar.

Rasanya kerani atau PA CEO yang belum mengenali anda itu akan bagi kebenaran tak?

Batu Delima ini juga dikatakan boleh meningkatkan keyakinan diri kepada pemakainya.

Pada aku, konsep keyakinan diri ini sama seperti seorang perempuan. Iaitu biasanya mereka lebih berkeyakinan apabila sudah mengenakan make-up pada wajah. Lagi cun lagi confident.

Persoalannya ialah adakah make-up yang digunakan samada dari jenis Avon, Revlon, Maybelline, L’Oreal Paris, Lancome semua tu mempunyai kuasa ghaib untuk meningkatkan keyakinan diri seseorang itu?

Minyak Jin Epal Emas

Minyak Wangi Jin Epal Turki. Gambar: WhatsApp Hasri

Gambar di atas ialah bekas minyak wangi yang dikatakan didatangkan secara ghaib. Latar belakang hitam itu ialah kain pembungkusnya.

Minyak wangi ini berada di dalam bekas yang kedap udara. Keseluruhan bekas itu berada di dalam kaca yang perlu dipecahkan apabila mahu menggunakannya.

Aku diberitahu bahawa jin dan kumpulan makhluk halus sangai menggemari wangian dari Epal Emas ini. Sehinggakan diberi nama Epal Jin Emas.

Antara khasiat utama minyak wangi ini ialah memberi kegembiraan kepada khadam (seperti khadam Besi Kuning di atas tadi) dan juga jin-jin yang dibela.

Oh… Ada ladang ternak jin eh?

Apabila jin-jin atau khadam ini disukakan hati mereka (eh… ada hati pula) mudahlah untuk menarik harta Qarun dari dasar bumi. Atau pun supaya menjadi pelaris kepada perniagaan.

Pendapat aku?

Nak cari harta Qarun kenalah melombong. Bijih besi, emas, timah, tembaga, dan sebagainya. Perlukan kapal korek yang canggih.

Kalau jin-jin ni boleh tolong… lombong Uranium lagi bagus. Boleh buat nuclear power plant. Letrik murah. Kalau meletup macam di Chernobyl atau di Jepun tu macamana?

Eh... Khadam tu kan ada?

Lombong Bauxite di Pahang tu tak guna minyak Epal Jin ni kot?

Mungkin itu pasal banyak masalah, eh?

Siap ada yang menemui ajal. Ikan keli bertukar warna jadi merah macam air sungai dan laut juga ketika hal Bauxite ni heboh satu ketika dulu.

Silap lah eh… dia orang tak guna Minyak Epal Jin ni.

Bagaimana pula untuk pelaris?


Kalau benar boleh membantu melariskan jualan apa saja, sepatutnya ramai sudah jadi kaya raya. Tak perlu habiskan duit untuk iklan, aktiviti pemasaran, penyertaan expo dan convention.

Letak apa saja orang berebut datang membeli. Berapa harga pun orang sanggup bayar.

Atau… hanya aku yang tak tahu?

Minyak Buluh Perindu

Aku tak tahu samada masih ramai generasi sekarang yang tahu atau kenal dengan pokok buluh perindu. Aku sendiri tak pernah jumpa. Kalau jumpa sekali pun aku tak mungkin akan kenal.

Di kampung-kampung pokok buluh yang dahulunya digunakan untuk membuat joran sudah diganti dengan batang joran fiber glass.

Minyak Wangi Buluh Perindu dan Jin Epal. Gambar: WhatsApp Hasri

Buluh kini semakin pupus. Adakah nasib yang sama tidak terkena pada Buluh Perindu?

Aku difahamkan Minyak Buluh Perindu sangat mustajab untuk kegunaan lebih kurang sama dengan Minyak Epal Jin.

Pengamalnya menggunakan minyak ini untuk tujuan disayangi, sebagai penarik kasih sayang. Menyerikan wajah dan aura… juga sebagai pelaris perniagaan.

Pendapat aku?

Nak dapatkan perhatian dan disayangi… jangan asyik main handphone ketika bersama seseorang. Atau banyak buang masa tak berfaedah scroll melihat status dalam media social.

Tetapi menggunakan handphone lebih kepada mengeratkan silaturrahim. Atau buat bisnes on-line jana juta-juta. Mesti orang sayang punya.

Juga jujur dan ikhlas dalam setiap kerja. Senyum jangan kedekut mulut mau ramah bila customer datang. Memang boleh laris apa yang dijual.

Tasbih sepanjang 2 meter dari buah. Gambar: WhatsApp Hasri

Kesimpulan

Tulisan ini adalah pendapat peribadi dari seorang yang jahil akan perkara ghaib, jin, khadam dan perkara-perkara mistik.

Orang lain tentunya mempunyai pendapat, kepercayaan dan pendirian yang berlainan dan tersendiri.

Asalkan yakin apa yang anda buat itu berlandaskan Sunnah dan Al-Quran tanpa melibatkan perkara yang membawa kepada kesyirikan, teruskanlah. Apa ada hal, ek?

Dunia ini penuh dengan kekayaan dan keajaiban pada yang mahu mencari dan tahu menggunakan ilmu tertentu. Samada yang ghaib atau yang nyata. Dari sudut sains, keewangan, kejuruteraan atau sastera.

Dan siapakah lelaki pemilik pusat pameran barangan mistik ini? Biarlah rahsia. Kalau berhajat benar boleh tinggalkan pesanan di ruangan komen.

2 comments:

  1. Penulisan yang baik. Blog tuan ni tak ada butang follower ke ? Kalau tak boleh follow.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dulu saya taruk... tapi benda2 macam tu memperlahankan loading. So banyak widget yang saya buang. Boleh follow page ini:-
      https://www.facebook.com/emjayredha.op
      sebab memang selalu saya update di sini.

      Terima kasih atas pembacaan...

      Delete

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.