Keperibadian Dari Kesan Berpuasa Ramadhan - CrazyDuck -->

Header Ads

Keperibadian Dari Kesan Berpuasa Ramadhan

Puasa Ramadhan ialah ujian yang mampu membentuk keperibadian insan. Nakhoda yang cekap dibentuk dari ujian di lautan bergelora. Kepakaran seseorang terserlah setelah melalui beberapa ujian kelayakan. Ujikaji (experiment) pula ialah ujian untuk mencari sesuatu yang terbaik.
Gambar hiasan: London Central Mosque Trust Ltd. & The Islamic Cultural Centre.

Puasa Ramadhan ialah ujian yang mampu membentuk keperibadian insan. Nakhoda yang cekap dibentuk dari ujian di lautan bergelora. Kepakaran seseorang terserlah setelah melalui beberapa ujian kelayakan. Ujikaji (experiment) pula ialah ujian untuk mencari sesuatu yang terbaik.

Antara Hafalan dan Amalan

Hari Jumaat 14 June 2018, aku mengikuti solat sunat Hari Raya Aidilfiltri di sebuah masjid. Antara intipati khutbah ialah tentang “sekolah dan pendidikan Ramadhan” terhadap keperibadian seorang Muslim.

Juga hikmah amalan (ujian) puasa, samada ianya akan terus dibawa ke dalam kehidupan harian selepas Ramadhan. Atau terhenti apabila Ramadhan berakhir.

Sama seperti kita mengambil ujian ketika di sekolah atau Universiti.

Adakah ujian itu sekadar mahu mendapatkan sekeping kertas – sijil atau ijazah. Kertas yang membolehkan kita mengaku sudah menjadi seorang yang berilmu dan punya kepakaran (kelayakan) tertentu.

Adakah ujian itu melibatkan penghafalan dan apabila menghadapi ujian hanya menghamburkan semula apa yang dihafal.

Atau ujian itu sebagai proses menyungkil bakat, membentuk kebijaksanaan, membina ketahanan diri, dan memantapkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah?

Atau kebolehan memajukan sesuatu yang sediada?

Ya, ramai orang bertadarus, berqiamul-lail dan menghafal Al-Quran ketika bulan Ramadhan. Pertamanya kerana mencari pahala. Yang banyak menghafal Al-Quran pula dilantik menjadi imam solat. Kerana itu adalah kelayakan utama.

Tetapi adakah Al-Quran itu hanya sekadar untuk hafalan dan dalil bagi hukum-hukum tertentu sahaja? Bagaimana dengan ilmu tentang pembangunan berbagai teknologi dan ekonomi?

Ilmu perlaksanaan yang diperlukan untuk menjana pendapatan tinggi? Pendapatan yang boleh diinfaqkan semula kepada masyarakat.

Sering kita melihat permohonan bantuan dari organisasi Islam kerana ketidak-cukupan dana. Seolahnya “meminta derma dan sedekah” itu satu trade-mark organisasi Islam.

Ya… Al-Quran itu “Hudallil Muttaqin”, iaitu hidayah (petunjuk) bagi orang yang bertaqwa. Dan dikatakan oleh 99.9% para Ustaz, imam, penceramah, pemberi tazkirah bahawa semua masalah kehidupan ini dapat diselesaikan dengan merujuk kepada Al-Quran.

Aku mahu bertanya… mereka itu bercakap atas dasar hanya bercakap atau mereka sendiri yang membuktikan?

Memang, Islam itu lengkap untuk segala aspek kehidupan. Yang aku persoalkan di sini ialah orang yang bercakap itu dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Terutama dalam bidang ekonomi.

Adakah mereka hanya bercakap (untuk dilihat pandai dan menghafal segala jenis dalil dari Al-Quran dan Hadis) atau mengamalkan apa yang dicakapkan?

Adakah dengan bercakap itu sudah bererti mengamalkan? Atau bercakap supaya nampak berilmu lalu sering dipanggil untuk bercakap lagi dan lagi, dan menjadikan bahan yang dicakapkan itu sebagai sumber rezeki?

Atau apa yang dicakapkan itu boleh dipraktikan. Ini bukan soal hukum halal, haram, batal, sah, sunat atau makruh yang sudah jelas. Tetapi perjalanan kehidupan seharian setiap individu dan masyarakat.

Tentang penerapan nilai ilmu yang ditazkirahkan ke dalam kehidupan. Sesuatu yang boleh diguna pakai terus. Mempunyai tindakan susulan. Bukan hanya seronok untuk didengari sebagai halua telinga dan penglipur lara.

Antara Cakap-Cakap dan Amalan

Sebagai contoh, apabila seseorang itu bercakap tentang hal pertanian. Bagaimana mahu meningkatkan hasil. Ada ilmu dan langkah yang perlu diikuti supaya tanaman atau ternakan menjadi subur dan memberi hasil yang tinggi.

Selesai teori ada pula susulan tahap amali. Supaya apa yang dipelajari itu digunakan terus.

Sebaliknya kebanyakan tazkirah, khutbah, ceramah asyik pusing ulang perkara yang sama tahun demi tahun. Dan ekonomi umat Islam tetap juga mundur. Lalu diungkapkan dengan kata-kata “orang yang bersyukur itu ialah mereka yang berbahagia dengan apa yang ada.

Bagaimana pula dengan otak pemikiran yang disia-siakan? Banyak tidur sembang lebih. Bukankah tanda bersyukur itu menggunakan sepenuhnya anugerah akal yang diberikan oleh Allah (SWT)?

Politik sangat berhubung rapat dengan kehidupan. Bila kita bercakap tentang politik sering dikaitkan dengan muslihat jahat orang kafir. Untuk menjatuhkan Islam.

Tetapi bila nak buat rumah tetap saja orang kafir yang dicari. Kita sokong perniagaan mereka. Paling kurang untuk bekalan bahan binaan. Malah kadang-kadang ada masjid yang kontrak pembinaannya diberikan kepada mereka.

Antara alasannya ialah kontraktor Muslim selalu tak cukup modal, kerja tak berkualiti, lambat siap dan bermacam masalah lain yang ditimbulkan. Tetapi yang utama sebenarnya ialah masalah ”tiada kepercayaan” terhadap orang Islam itu sendiri.

Nak beli kereta atau membaikki kerosakan pada kenderaan, orang kafir juga jadi pilihan pertama. Walau pun tahu mereka itu ada yang penipu.

Kenapa jadi begitu?

Kenapa terlalu jarang hal ini (sikap diri sendiri) disebutkan dalam tazkirah. Asyik menyebut sikap orang lain dan menyalahkan mereka dengan perangai mereka.

Tidak melihat ke dalam diri sendiri. Padahal diri sendiri itulah yang perlu diperbaikki. Orang lain tak mungkin mahu jadi macam kita atau menyokong kita jika tidak ada kepentingan.

Didikan Berdikari Sejak Kecil

Islam mengajar supaya umatnya berdikari dan punya kemahiran hidup sejak kecil.

Nabi Muhammad (SAW) mengembala kambing sejak kecil. Anak kita asyik dengan gadjet. Yang remaja selalu melepak dan merempit.

Nabi (SAW) dan juga berniaga sejak kecil, kemudian melakukan perniagaan import-export. Kerana perniagaan itu satu cabang yang boleh meningkatkan kekuatan ekonomi umat.

Tetapi berapa banyak tazkirah yang membincangkan hal perniagaan, tatacara, dan tindakan yang boleh memantapkan ekonomi umat?

Malah si anak sering diasuh untuk makan gaji. Pada yang mahu berniaga, tidak mendapat sokongan keluarga. Berniaga menjadi pilihan terakhir pada kebanyakan orang, kecuali pada keluarga yang sudah ada perniagaan yang berjaya.

Hal perniagaan tersangat jarang disentuh semasa tazkirah. Kecuali apabila penceramah itu sendiri ada membawa barangan jualan. Seperti madu, air berjampi, atau kalendar. Dan sering diterapkan dengan “bersedekah sambil membeli” untuk membantu perbelanjaan binaan bangunan Tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, masjid atau surau.

Hal meningkatkan ekonomi tidak dibincangkan secara “actionable”. Iaitu ilmu yang boleh diguna pakai (bertindak) yang dicambahkan idea dan semangatnya melalui tazkirah.

Boleh dikatakan pada setiap tazkirah, yang mendengarnya hanya rasa teruja sekejap semasa mendengar dan apabila pulang ke rumah, tetap sama saja.

Tidak ada kesan yang melekat dalam pemikiran mereka bagaimana Islam boleh mengubah nasib mereka daripada yang sediada kepada sesuatu yang jauh lebih baik.

Artikel Bersiri

Ya… tulisan aku kali ini aku dapat merasakan “kepanasannya”, walaupun hanya baru beberapa halaman aku nukilkan. Tak tahu adakah akan terus panas atau tidak…

Aku hanya mahu meluahkan rasa hati, rasa kesedihan melihat umat Islam yang mundur, mudah percaya bulat-bulat (gullible) terhadap sesetengah orang, sering berpecah belah, dan selalu dijadikan mangsa oleh mereka yang mahu mengaut keuntungan.

Tulisan ini bersiri yang dikecilkan skopnya mengikut isu-isu tertentu. Artikel ini adalah pengenalan kepada beberapa episod yang mendatang.

Setiap tajuk memfokus kepada satu isu tentang permasalahan yang dihadapi oleh Umat Muslim (fokus kepada Malaysia), contoh-contoh yang berkaitan, dan pendapat (cadangan) aku tentang penyelesaiannya.

Artikel ini panjang. Kalau mahu stop dulu dan mudah untuk datang semula, sila klik salah satu butang di bawah.

Pameran Pengenalan Kepada Islam

Kisah di bawah ini diadaptasikan dari tulisan berbahasa Inggeris yang aku terima dalam Group WhatsApp. Ianya sebagai pembuka tirai kepada artikel selanjutnya.

Gambar hiasan: Islamic Book Fair

Ada sebuah masjid di England di mana AJKnya menganjurkan pameran bertajuk “Pengenalan Kepada Islam.”

Pameran ini dikunjungi oleh seorang Da’i yang tinggal berdekatan dengan masjid tersebut. Berikut adalah kisah perbualan si Da’i dengan seorang pelawat dari Scotland:-

Setelah selesai melihat bahan pameran kami bertegur sapa. Saya bertanyakan kepadanya jika ada sesuatu yang beliau mahu tahu tentang Islam.

“Oh tak… tak apa, terima kasih.” Katanya mesra sambil menolak pelawaan saya.

Kemudian menyambung lagi, “Saya tidak berapa suka dengan teori tentang Islam yang kerap saya dengar. Sebenarnya saya telah lama hidup berjiran dan bergaul dengan ramai Muslim, termasuk dengan mereka yang datang dari beberapa negara Arab.”

“Saya sendiri pernah tinggal di negara Arab dan banyak membaca tentang Islam. Melalui pembacaan ia memberikan kefahaman kepada saya tentang Agama ini.”

“Jadi, apa yang tuan faham tentang Islam?” Saya bertanya.

Islam Yang Difahami

Dia menjawab dengan point-point seperti berikut yang menggambarkan pemahamannya terhadap Islam:-
• Islam ialah agama yang sangat syumul dan murni yang mengarah dan membawa penganutnya kepada keamanan sejagat,

• Islam tegas dengan konsep amanah dalam menjalankan tugas samada bersendirian atau bersama kumpulan,

• Ia membentuk (menjaga) hubungan antara individu, samada sesama Muslim atau pun tidak dengan cara yang bersopan santun serta menjaga hak masing-masing,

• Ia mengajar cara bagaimana seseorang itu harus menyembah Tuhannya secara yang teratur, beradab dan tertib,

• Ia mengajar dan memberi pedoman bagaimana seorang anak itu harus menghormati kedua ibu-bapanya,

• Juga bagaimana seseorang itu harus mempunyai adab dan tata-susila terhadap suami / isteri, anak-anak, jiran dan seluruh masyarakat.

Islam Yang DiPamerkan dan Diperhatikan

Tetapi apa yang yang saya lihat dan alami bukan seperti yang saya sebutkan tadi. Malah sebaliknya. Apa yang disebutkan sebagai teori dan apa yang diamalkan sangat berbeza.

Contohnya seperti berikut:-
• Apabila berjanji kamu kerap memberi alasan atau terus diam bila ianya tidak dapat ditunaikan. Kamu tidak menghormati masa. Ketepatan janji kamu tidak boleh dipegang. Dalam perkataan lain, kamu sering menipu.

• Apabila diamanahkan, kamu selalu tidak jujur. Rasuah menjadi amalan ramai orang yang mempunyai kuasa.

• Selain melakukan rasuah, kamu juga sering mencuri (tidak amanah). Samada terhadap masa, wang atau harta.

• Kamu sering bertelagah sesama sendiri. Tidak terurus dan tidak teratur. Kamu hanya mahu pendapat kamu diterima. Orang lain salah belaka. Susah mencapai persetujuan.

• Perbalahan antara kamu (termasuk sesama negara Islam) hanya merugikan Islam tetapi menguntungkan rejim (dan keluarga mereka) yang memerintah atau yang menjajah.

• Kamu suka memaki hamun, mencerca, mencarut, kutuk mengutuk, malah suka membawa fitnah. Kamu suka bersembang kosong yang tak membawa faedah.

• Kamu mahu bertanding, tetapi tidak bersedia untuk menerima kekalahan. Apabila kalah kamu selalu melakukan sabotaj (tikam belakang) atau menghasut dan tabur fitnah.

• Kamu tidak suci dari “racist”. Menyalahkan bangsa lain yang lebih rajin dan bijak terhadap kelemahan dan kemunduran kamu.

• Kamu mengambil harta atau hak orang lain dengan cara yang salah, termasuk berbohong dan menipu.

• Kamu tidak ada kepedulian yang tinggi terhadap kebersihan dan pencemaran alam.

• Kamu mengagungkan orang kaya (tidak kira mereka kaya dengan cara apa) tetapi menghina si miskin yang jujur.

• Undang-undang dan peraturan di negara kamu (negara Islam) hanya untuk golongan tertentu, terkecuali terhadap orang yang mempunyai pengaruh, terutama dari segi politik atau kedudukan dalam masyarakat.

Saya diam dan dia terus menyambung lagi, “Oh… maafkan saya. Kamu kelihatan seperti terganggu dan tidak selesa.”

Kemudian saya bekata kepadanya, “Ambil apa yang tertulis dalam buku itu (Al-Quran dan buku-buku ilmiah tentang Islam) dan lupakan sikap, perangai, dan perlakuan individu yang pernah tuan berinteraksi dan berurusan.”

Dia menggelengkan kepala dan berkata, “Kamu hanya membuang masa dan wang membuat pameran ini. Kerana kami melalui pemerhatian, mengetahui akan hal kamu lebih dari kamu mengetahui hal kamu sendiri.”

“Pergilah kepada ‘buku-buku’ kamu yang hebat itu, amalkan konsep dan perinsip yang ada di dalamnya. Buku yang bagus itu penting, tetapi menghidupkan isinya adalah lebih bagus dari sekadar bacaan.”

“Dan apabila amalan kamu sudah sempurna atau hampir sempurna, kamu akan mendapati manusia datang berbondong-bondong memeluk agama kamu. Tidak perlukan pameran yang sebegini yang diadakan hanya sekali sekala pada waktu tertentu sahaja.”

“Kamu dan kelompok kamu adalah pameran yang sebenar. Yang diperhatikan dan diuji setiap hari oleh setiap orang yang berinteraksi dan berurusan dengan kamu. Aksi (tindakan) kamu itu lebih memberi kesan dari teori secara bersuara atau tulisan – action speaks louder than words.”

Sambutan Hari Raya di London. Gambar:- FB Wan Fayhsal

Kesimpulan - Jadikan Islam as the way of life

Berpuasa, samada dalam bulan Ramadhan atau tidak adalah latihan diri dalam melakukan sesuatu itu kerana Allah (SWT). Tidak ada kerana yang lain.

Samada bersendirian atau bersama orang lain, yang tahu hanya yang berpuasa dan Allah (SWT). Keyakinan terhadap Allah (SWT) dan kejujuran dengan diri sendiri adalah inti pati latihan berpuasa.

Bukan kerana mahu menonjolkan tahap keimanan dan mendapat pujian – kerana puasa itu tidak boleh ditonjolkan seperti berfesyen atau berkenderaan.

Bila amalan ini dibawa dalam kehidupan, keperibadian yang baik akan terserlah. Iaitu kejujuran, keihklasan dan keikhsanan. Pencapaian kejayaan juga menjadi lebih mudah.

Keperibadian dan kejayaan Muslim yang sebegini menjadi contoh kepada orang Islam sendiri. Ia juga sebagai tarikan kepada orang lain untuk mendekati dan menerima Islam.

Islam itu sesuatu yang hidup dan pedoman kehidupan. Bukan hanya ada pada tulisan dan tazkirah. Bukan juga setakat memenuhi amalan dalam rukun iman dan rukun Islam. It is the way of life.

Sudikan tekan butang bawah ni, ya... Terima Kasih.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.