Menjadikan Masjid Lebih Baik Dari Gereja Dalam Khidmat Masyarakat - CrazyDuck -->

Header Ads

Menjadikan Masjid Lebih Baik Dari Gereja Dalam Khidmat Masyarakat

Masjid berkunci dan gereja memberi bantuan bukan perkara asing hari ini. Dua perkara ini sebenarnya petanda jelas akan masalah kemasyarakatan yang kita hadapi. Menghukum pencuri duit atau barangan masjid bukan jalan terbaik dalam mendidik umat.
Masjid-Xian-Ming-Dinasti
Gambar hiasan. Masjid Xian Ming Dinasti. Sumber gambar:- Razali Ishak

Masjid berkunci dan gereja memberi bantuan bukan perkara asing hari ini. Dua perkara ini sebenarnya petanda jelas akan masalah kemasyarakatan yang kita hadapi. Menghukum pencuri duit atau barangan masjid bukan jalan terbaik dalam mendidik umat.

Tabung Bantuan Khas Untuk Yang Tiba-Tiba Ada Masalah Keewangan

Hari Jumaat pertama selepas Raya Puasa Pak Samad bertandang lagi. Aku ambil kesempatan untuk bersembang dan menyungkil fikirannya.

Selesai solat Jumaat dia mengajak aku lepak di sebuah warung. Macam hari Jumaat 6 bulan yang lalu. Di mana dia memberikan bantuan kepada seseorang yang mengambil duit dari tabung masjid.

Kali ini aku pasti dia ada sesuatu yang mahu diceritakan…

“Kau tahu tak… selepas aku balik dari sini dulu, aku pergi ke Kedah. Kebetulan hari Jumaat.” Pak Samad memulakan setelah kami selesa di meja pada sudut terpencil. Aku terus akur mendengar sambil melayan teh ais.

Katanya…

Sebelum khutbah, wakil AJK masjid membuat pengumuman bahawa pihak masjid telah menyediakan satu tabung khas untuk membantu anak-anak qariah yang ditimpa kesempitan.

Ada beberapa cara yang depa buat:-
✪ Bantuan wang tunai untuk yang memerlukan secara tunai.
✪ Memberikan kupon untuk membeli barang keperluan dapur dan ambil barangan di kedai berdekatan.
✪ Bantuan khas jika jumlahnya banyak, seperti keperluan melanjutkan pelajaran ke peringkat university.
✪ Bantuan pengurusan jenazah pada yang tak punya khairat kematian.
✪ Beberapa jenis bantuan lain, terutama ketika perayaan dan sebagainya. Yang 3 teratas itu ialah jenis bantuan yang baru diperkenalkan.

Pengumuman tentang berbagai bantuan ada disenaraikan pada papan kenyataan masjid. Ternampak lalu aku baca masa aku nak keluar.

“Oh... bagus lah kalau macam tu. PakMad ada dengar atau terbaca pasal gereja yang membantu orang susah, tak kira apa bangsa atau agama?” Aku bertanya memberikan semangat.

Gambar hiasan. Kecantikan masjid. Gambar:- pickywallpaper.com

Lalu dia terus berceloteh…

Ya… ada. Kalau tak silap aku cerita ni pada penghujung 2016. Dah lama, tapi pengajarannya tetap sama dan evergreen. Dan sebab itu juga lah aku melakukan apa yang aku lakukan dulu tu.

Lebih Mudah Mendapat Bantuan Dari Gereja Berbanding Masjid

Kalau ingatan aku masih OK, ceritanya lebih kurang macam ni:-
Seorang lelaki Melayu (Islam) lebih senang untuk meminta bantuan dari Gereja atas saranan kawannya berbangsa India.

Ini kerana banyak step yang perlu dilaluinya bila meminta bantuan dari pertubuhan Islam. Dari imam ke bendahari kemudian ke pejabat zakat. Banyak sangat prosedur. Dapat belum tentu. Padahal dia nak minta hanya RM 50 saja.

Dari notis bertulis, Gereja hanya minta orang yang ambil duit dari kotak yang disediakan mengisi nama, haribulan, jumlah yang diambil, nombor telefon dan sedikit catitan pada buku di tepi kotak duit. Nak ambil berapa pun ambil lah. Tak ada siapa nak tanya macam-macam seperti kerja apa, kenapa perlukan duit dan sebagainya.

Kerana soalan-soalan ini menjatuhkan air muka. Memalukan.

Tujuan diminta meninggalkan nombor telefon tu pula ialah supaya depa boleh follow up, kalau masih memerlukan bantuan.

Dan mereka akan follow up, bukan buat bodoh saja pada nombor telefon yang ditinggalkan.

Bantuan susulan akan diberikan, termasuk membuka jalan mendapatkan peluang pekerjaan atau diberikan modal untuk berniaga.

So… bila hari ini aku dengar pengumuman macam tu sebelum khutbah, aku rasa sangat syukur. Seronok. Kerana memang ada masjid yang AJKnya prihatin akan kesusahan ahli qariahnya.

Memudahkan Pembayar Zakat dan Penerimanya

Jika ketika bulan Ramadhan banyak tempat kutipan zakat dilakukan oleh Amil yang dilantik. Seperti di pusat membeli belah / masjid / surau. Kerana ia memudahkan orang ramai untuk membayar zakat.

Mahu kutip menyenangkan, tapi kenapa pemberian zakat perlu dipayahkan? Dan selalunya hanya di pejabat zakat.

Atau pun di sekolah-sekolah yang dilakukan pada masa-masa tertentu sahaja. Yang diatur oleh pihak PIBG. Samada dengan pejabat zakat, individu tertentu, atau badan perniagaan. Diberikan kepada pelajar yang dikenal pasti keluarganya memerlukan.

Kalau meja kutipan zakat boleh disediakan di shopping complex, kenapa memberikan bantuan kepada yang memerlukan tidak dilakukan dengan cara yang sama? Sebab tak dapat upah? Atau tak percaya dan takut duit tu akan kena songlap?

Atau sebab amil itu dibayar gaji / upah / atau komisyen pada kadar 10 - 12.5% dari jumlah kutipan?

Aku tak terkata apa dengan hujah Pak Samad. Tapi memang betul pun, setiap kali Ramadhan akan ada meja Amil yang kutip zakat. Belum pernah aku jumpa meja khas di pusat membeli belah yang tujuannya khusus untuk memberi bantuan.

Gambar Contoh Masjid Yang Melakukan Aktiviti Kemasyarakatan

Masjid-Taiping-Perak
Sesetengah masjid mempunyai tempat parkir yang luas. Sumber:- Perak Today.

Aktiviti-jual-beli-anjuran-masjid
Aktiviti jual beli anjuran masjid. Sumber gambar:- FB Ismail Bin Zainudin

Khidmat-masyarakat-aktiviti-jual-beli-anjuran-masjid
Gambar hiasan, sumber:- FB Ismail Bin Zainudin

AJK-masjid-untuk-aktiviti-khidmat-masyarakat
Gambar hiasan, sumber:- FB Ismail Bin Zainudin

Sekiranya artikel ini sampai kepada mana-mana AJK masjid, terutamanya masjid yang banyak duit, aku harap luahan Pak Samad ini diperkukuhkan. Maksud aku, pemberian dipermudahkan tanpa penerima merasa dikenali atau terasa malu.

Selain dari duit, makanan asas juga boleh disediakan. Yang memerlukan pergi ambil saja. Pilihlah cara dan protokol yang paling sesuai. Lain masjid lain caranya.

Sebagai contoh, menyediakan “Food Bank” untuk bahan keperluan asas. Seperti minyak masak, tepung, susu, gula, dan beras. Ini boleh disediakan oleh pihak masjid dan juga sumbangan orang ramai.

Pusat Pengumpulan Makanan (Food Bank)

Sering kita lihat ketika bencana alam seperti banjir 2014, ramai orang yang membantu. Pentingnya ada dorongan untuk berbuat demikian. Samada oleh persatuan atau pihak berkuasa masyarakat. Dan masjid boleh dijadikan sebagai pusat pengumpulan.

Mereka yang tinggal di bandar pun ada ketikanya mengalami kesusahan. Akibat musibah yang tak dijangka.

Selain yang memerlukan datang sendiri untuk mengambil, pihak masjid juga boleh (atau sudah sedia dilakukan) bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nama orang-orang yang susah berkemungkinan besar ada di sana. Hubungi mereka itu atau maklumkan kepada JKM tentang program bantuan yang disediakan oleh masjid.

Secara tak langsung ia akan membantu sesetengah golongan masyarakat untuk merasa lebih senang untuk mendekati masjid. Dan ramai akan merasa lapang untuk turut menyumbang dan membantu AJK masjid.

Tidaklah orang-orang itu saja...

Pasal gereja yang memberikan bantuan tu, pada aku tak payah nak persalahkan dia orang dengan kata-kata agenda “Christianization”. Dah memang dia perjuangkan agama dia, dia buat lah apa yang patut. Tak kan lah dia nak mempromosikan Islam pula?

Tentang “Food Bank” dan Tabung Duit, sekiranya berlaku kecurian, itu bermakna masih ada orang yang susah atau mereka yang perlu diberi bantuan. Samada dari sudut akhlak atau sudut ekonomi.

Kekerasan dengan menghukum yang mengambilnya (dikatakan mencuri) hanya menjauhkan mereka dari masjid. Dan masalah masyarakat (iman, minda dan hati) tak akan boleh diperbaiki dengan kekerasan dan kekasaran. Termasuk kata-kata.

Masjid-Xian-Ming-Dinasti
Gambar hiasan. Masjid Xian Ming Dinasti. Sumber gambar:- Razali Ishak

Kesimpulan

Aku harap apa yang Pak Samad ceritakan pasal masjid tadi semakin banyak dicontohi. Masjid sebagai antara pusat setempat yang membantu ahli qariahnya.

Dan ianya dilakukan dengan lebih baik dari apa yang gereja lakukan. Orang akan lebih terbuka hati untuk bersedekah lebih kepada masjid atas kepercayaan dan keyakinan. Kerana mereka tahu yang sedekah mereka itu dipergunakan sebaik mungkin.

Bukan setakat untuk kemaslahatan masjid tetapi kebajikan ahli qariah yang memerlukan. Bukan juga untuk diperam duit itu dan ditampalkan penyata akaun pada papan kenyataan betapa kayanya masjid itu.

Kecantikan sesebuah masjid itu akan lebih bermakna apabila semakin ramai yang mahu memasukinya. Bukan sahaja kerana peralatan, kebersihan, dan kerapian susunan... tetapi dekatnya hati pengunjung kerana kerendahan hati dan keindahan budi pekerti para pentadbir dan jemaahnya.

Masjid-Xian-Ming-Dinasti
Gambar hiasan. Masjid Xian Ming Dinasti. Sumber gambar:- Razali Ishak

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.