9 Tips Mudah Menjadi Usahawan Gigih - CrazyDuck -->

Header Ads

9 Tips Mudah Menjadi Usahawan Gigih

Usahawan tulin ialah mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan pencapaian. Kejayaan mereka terutama dalam perniagaan adalah kerana komitmen yang berterusan dalam memperbaiki diri. Sentiasa ada kemajuan dengan cara kerja dan cara mereka berfikir.
Perbezaan Mindset dan Perlakuan antara Boss dan Usahawan Tulin

Usahawan tulin ialah mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan pencapaian. Kejayaan mereka terutama dalam perniagaan (juga makan gaji) adalah kerana komitmen yang berterusan dalam memperbaiki diri. Sentiasa ada kemajuan dengan cara kerja dan cara mereka berfikir.

Usahawan Tulin Sentiasa Memperbaiki Diri

Usahawan. Adakah perkataan ini dikhaskan kepada mereka yang berniaga, bekerja sendiri, peneraju korporat, atau termasuk juga yang makan gaji?

Bidang keusahawanan (entrepreneurship) sering dikaitkan dengan kegiatan berbisnes. Start-up. New venture. Berhenti makan gaji dan memasuki bidang perniagaan.

“Bagi aku, usahawan ialah mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan pencapaian.” Itulah antara pembukaan cerita oleh Pak Hamid tentang pendapatnya mengenai usahawan dan keusahawanan.

Dan dia terus menyambung. Aku mendengar. Apa yang aku ingat... aku taburkan dalam artikel ini.

Tak kira di mana mereka bekerja atau dalam bidang apa. Tidak berharap kepada keselesaan. Sentiasa ada kemajuan, walaupun sedikit. Hari ini lebih baik dari semalam.

Menjadi lebih baik dalam pemikiran (bentuk dan cara), keupayaan (bekerjasama, penggunaan teknologi), dan pencapaian. Istiqamah, iaitu sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik merupakan penanda aras seseorang usahawan sejati. Kerana usahanya.

Setiap orang yang berjaya terutama dalam perniagaan sentiasa ada komitmen untuk memperbaiki diri terhadap apa yang mereka lakukan dan cara mereka berfikir.

Mahu Menjadi Usahawan Yang Bagus?

Bagus yang berterusan itu menjanjikan kejayaan. Kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi. Kalau bermula sebagai kerani, satu hari nanti boleh memegang jawatan pengurus sekiranya bukan pengarah.

Kalau seorang guru, ramai anak-anak murid yang mendapat kecemerlangan. Bila mereka dewasa dan bekerja mereka sentiasa ingat atau selalu mengunjungi kita.

Yang berniaga pula, bermula dengan kecil-kecilan sampai satu masa dapat membeli kedai yang disewa serta membuka beberapa cawangan lain. Bermula dengan seorang diri satu masa nanti mempunyai ramai staff yang dedikasi dan sangat boleh dipercayai.

Jadi, sekiranya anda mahu menjadi usahawan (walaupun makan gaji dan tak semestinya bertukar menceburi bidang perniagaan) cuba ikut dan amalkan 9 perkara mudah berikut.

Tapi perlu ada disiplin diri dan istiqamah. Itu syarat utama. Kata kuncinya “berterusan”.

Usaha yang tiada henti. Biar sedikit kemajuan tetapi sentiasa ada. Ianya lebih baik dari banyak dalam waktu yang singkat kemudian kosong untuk masa yang lama.

Nota:- Bukan mahu mengajar tapi sekadar berkongsi apa yang Pak Hamid bebelkan pada aku... anda juga digalakkan untuk kongsikan artikel ini. Butangnya kat bawah ni...

Tip #1: Membayangi Kejayaan Yang Diidamkan

Bayangkan dan kerja kuat ke arah itu. Capai apa yang dicita. Jim Carrey

Lain orang lain definasi kejayaan. Ada yang mahu jadi kaya raya. Ada yang hanya mahu bahagia dengan keluarga tanpa perlu banyak wang dan harta. Cukup sekadar apa yang ada.

Ada yang mahu mengabdikan diri kepada Pencipta dan Rasulnya. Berbagai… dan setiap kejayaan adalah satu titik pencapaian dalam perjalanan kehidupan yang panjang.

Dalam pemanduan ke sesuatu tempat, sudah ada petanya dalam kepala kita. Dan kalau ke tempat baru yang belum pernah pergi aku ada dua pilihan.

Pertama, redah saja dan perjalanan berpandukan kepada tanda-tanda di jalanraya dan bila tersesat bertanya. Kedua, gunakan peta (buku atau GPS). Bagi aku, kalau nak cepat ambil pilihan kedua.

Kalau ada masa dan nak enjoy makan angin sambil meneroka aku akan redah saja. Bila meredah ia memberikan ingatan yang kuat kerana sentiasa memerhati (alert) landmark dan keadaan sepanjang perjalanan.

Begitu juga dengan kerjaya. Boleh cari jalan pantas atau langkah demi langkah mendaki “corporate ladder”. Apa pun, ilmu penerokaan dan pendakian mesti ada.

Jalan pantas bukan bermaksud “pintas”. Seperti rasuah dan office politics (puji, bodek, belanja, menghasut, cari dan jaja keburukan orang).

Tetapi dengan ilmu atau kelayakan yang membantu mempercepatkan penghasilan.

Ibarat perjalanan, pemanduan mau mantap (ilmu dan kemahiran) dan kenderaan (cara, jenis kerja dan dengan siapa) mau bagus.

Apabila sudah dapat membayangi (visualize) kejayaan yang mahu dicapai, mudah untuk disusuli dengan perancangan, persediaan, dan tindakan yang mengikut jadual.

Mustahil untuk merencanakan sesuatu yang baru jika tidak punya masa untuk berimpian dan membayangi bagaimana kejayaan itu boleh dicapai.

Terlalu sibuk dengan situasi “sekarang” sehingga terlupa di mana kita akan berada dan bagaimana keadaannya pada suatu masa nanti. Kita gagal untuk membayangi.

Juga sangat penting ialah apa yang mahu dicapai itu masuk akal. Logik. Dan ada kemungkinan boleh dicapai. Mathematics-nya kena selari dengan angan-angan.

Ibarat kelajuan kereta dengan kejauhan destinasi yang mahu dituju. Berapa jam perlu diperuntukkan.

Contoh lebih baik, mana mungkin baru saja dapat jawatan kerani tapi sudah berangan mahu membeli Jet Peribadi dalam masa 5 tahun? Think big is OK tapi jangan tamak tak masuk akal.

Gambar: FB Chris Record. Private Jet with Grant Cordone

Tip #2: Fokus Pada Satu Perkara Pada Satu Ketika

Masyarakat hari ini mahukan sesuatu itu dengan cepat dan pantas. Begitu juga dengan kejayaan. Kesan makan mee segera agaknya, eh?

Akibatnya scam berleluasa kerana kemalasan dan ketamakan. [Bebelan Pak Hamid tentang scam diceritakan dalam artikel ini => Mengenal Cara Penipuan (Scam) On-Line Dan Elak Dari Ditipu]

Bukan tidak boleh mahukan segalanya cepat. Bila bersesuaian dengan teknologi dan peralatan, boleh saja. Tapi tetap ada hadnya setakat mana masa itu boleh dipercepatkan.

Contohnya ayam mengeram mengambil masa 21 hari untuk telur menetas, tetapi boleh dipendekkan kepada seminggu bila menggunakan oven.

Terlebih pantas dengan menaikkan suhu, telur akan rosak (masak) dan anak ayam akan mati.

Begitu juga dengan tanaman.

Gambar kiri dan tengah:- FB Asmadi Muhammad‎, Durian Batang Mas.  Kanan: Sara Harr Musang King

Durian kahwin akan cepat berbuah berbanding dengan durian yang ditanam dari biji. Tetapi tetap saja memakan masa lebih setahun untuk pokok itu membesar dan berbuah.

Rumah dibina dengan persediaan tapaknya terlebih dahulu. Kemudian tiang. Lantai. Dinding yang dibina dari susunan bata satu persatu menyusul. Dan diikuti dengan kelengkapan dalaman termasuk saluran dan bekalan api dan air.

Satu peringkat ke satu peringkat mengikut fasa. Ada aturan yang mesti diikuti.

Kejayaan dalam kerjaya juga begitu. Selagi ada minda keusahawanan, peringkat demi peringkat kejayaan akan tercapai bila ada modal, cara, dan jadualnya.

Jangka pendek dan jangka panjang.

Manakala dalam perniagaan pula, ini aku ambil perhatian dari cara orang Cina.

Bermula dengan menyewa tapak dari orang Melayu untuk menjual barangan hardware, setelah 25 tahun dia berjaya membeli tapak tersebut dan membesarkan kedai dan perniagaannya.

Malah ada beberapa cawangan di tempat lain.

25-30 tahun lalu kedai ini hanya sebuah bangsal yang tapaknya disewa dari orang Melayu. Kini tanah termasuk sawah jadi miliknya. Dulu gran tanah ini hanya reserve untuk orang Melayu entah macamana Cina pun boleh beli pula? Guna jalan pintas?

Apa yang dilakukannya ialah menjaga aliran wang tunai dan pelanggan, berterusan.

Pelanggan setia bertambah begitu juga dengan modal terkumpul. Berbelanja mengikut keperluan bukan ikut kehendak dan keinginan.

Kedainya menjadi pilihan pertama masyarakat setempat untuk barangan hardware. Duit mengalir masuk seperti air bukit yang berkumpul dalam kolam di kaki bukit.

Sampai masanya duit dihamburkan dalam bentuk pelaburan. Tugas berganti. Dulu dia bekerja mencari duit sekarang duit yang bekerja untuknya.

Kolam air terjun di Lata Iskandar, Tapah Perak

Tip #3: Tindakan Yang Berterusan dan Sering Ada Pembaharuan

Berterusan, bukan berhenti setelah kejayaan pertama tercapai. Tetapi bermaksud sudah menjadi habit untuk sentiasa memperbaiki diri dan pencapaian.

Ibarat kolam dalam gambar di atas, kolam-kolam baru dibina atau kolam sedia ada diperbesarkan dengan menambah aliran air masuk.

Dan habit itu pula bukan bermaksud sifat tamak akan kejayaan. Tetapi lebih kepada kepuasan pencapaian terhadap apa yang dilakukan. Passion.

Dan sudah tentu bukan bermaksud buat sungguh-sungguh dalam masa seminggu kemudian berhenti untuk sebulan. Kemudian buat pula perkara lain untuk seminggu dan berhenti untuk beberapa bulan.

Untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM mengambil masa 5 tahun. Dan tanda-tanda kecemerlangan itu sudah jelas daripada keputusan ujian bulanan atau tahunan.

Apatah lagi dengan kerjaya dan perniagaan.

Orang (pelanggan atau rakan pejabat) menilai kita setiap hari dari hasil yang dikeluarkan atau cara kita bergaul. Suka bekerja sama atau mementingkan diri sendiri. Ada hasil atau ada alasan.

Hasil kejayaan hari ini atau tiadanya jaya ialah kesan dari tindakan atau ketiadaan tindakan beberapa bulan yang lalu, malah beberapa tahun yang lepas.

Agak ramai orang yang mengambil tindakan drastik untuk waktu yang singkat kemudian berhenti, tetapi mempersoalkan kenapa tidak mendapatkan hasil yang diimpikan.

Sangat berkemungkinan tindakan yang diambil itu tidak berterusan untuk tempoh masa yang diperlukan. Kecuali dengan mengambil jalan pintas.

Namun jalan pintas tidak akan memberikan hasil yang berpanjangan dan memuaskan.

Kecualilah memang jenis orang yang hanya tahu jalan pintas sebagai cara hidup. Dan orang jenis ini apabila dikenali akan cepat dikeluarkan dari sesebuah organisasi.

Artikel berkaitan:- 9 Jenis Orang Yang Perlu Anda Jauhi

Tip #4: Katakan TIDAK Bila Perlu dan Bersesuaian

Apabila seorang tukang rumah menyusun bata ketika membuat dinding, dia hanya fokus kepada dinding itu. Memastikan kelurusan bata yang disusun. Pastikan simennya cukup. Kelicinan plasternya diambil berat.

Dia tidak akan melayan gangguan atau apa yang berlaku disekelilingnya. Dalam erti kata lain… dia berkata TIDAK tanpa ungkapan. Kalau nak terkencing pun mungkin dia tahan dulu.

Sekiranya dia sangat terpaksa melayan gangguan luar yang mengambil masa, sangat besar kemungkinan dia akan menyiapkan setakat mana yang ada dan berhenti dari terus menyusun bata.

Mengatakan YA pada setiap yang datang walaupun peluang, akan merosakkan fokus terhadap apa yang dilakukan sekarang. Kesannya ialah kualiti akan terhakis atau masa yang dijanjikan meleset.

Lalu hilang kepercayaan oleh orang lain.

Dan kepercayaan itu sebenarnya “emas” bila kita diberikan tugas atau tanggung jawab. Mendapat tugas (job) itu sebagai petanda kejayaan yang jelas.

Orang tidak akan memberikan peluang kepada mereka yang tidak dipercayai atau diragui kemampuannya untuk “deliver” hasil yang dikehendaki.

Maka… katakan TIDAK pada waktu yang bersesuaian. Kerana itu petanda anda menghormati diri sendiri dan menghormati kehendak pelanggan (termasuk boss atau rakan sekerja).

Artikel berkaitan:- Biasakan Diri Untuk Mengatakan Tidak Jika Mahu Bahagia

Tip #5: Masa Anda Sangat Berharga

Sekiranya kita tidak memberi nilai atau menghargai (memberi harga) kepada masa yang kita luangkan, tak ada siapa yang akan menghargainya.

Membina kareer, perniagaan atau sesuatu projek (termasuk produk) memerlukan masa. Ada yang singkat ada yang makan masa bertahun-tahun, seperti R&D.

Mengatakan TIDAK boleh memastikan masa anda tidak diluangkan kepada perkara yang tidak membawa faedah. Apatah lagi sumbangan kepada kejayaan yang diimpikan.

Terlalu mudah untuk membuang masa hari ini dengan segala macam notifikasi dari handphone atau computer. Dan memang ada orang yang tidak punya kekuatan untuk berpisah dengan handphone mereka.

Jangan sampai ke tahap itu. Masa anda sangat berharga.

Tip #6: Jangan Malu Untuk Meminta Bantuan

Tak ada sesiapa pun yang sempurna dan tidak ada sesiapa pun yang berjaya (secara besar-besaran) dengan hanya bertindak bersendirian.

Ada ketikanya kita akan menemui jalan buntu terhadap sesuatu perkara atau bidang.

Tapi percayalah, ada orang yang mahir atau pakar memecahkan kebuntuan itu. Sab-sai-soi kata orang Hokkein. Hanya perlu bertanya, mencari dan meminta.

Kalau kena bayar, bayarlah… dan ini sebenarnya lebih baik. Kerana yang percuma itu jarang dihargai dan dipraktikkan.

Artikel ini bacaannya percuma… kalau dibandingkan anda perlu membayar untuk dapat membaca, apa rasa anda? Bernilai, kan? So... kalau ada nilai, tolong share dengan orang lain, ek… TQ!!!

Butangnya kat bawah ni jer.

Yang penting hala tuju dan tindakan tidak tersilap. Salah langkah atau keputusan boleh mengakibatkan terbantutnya kemajuan yang kita mahu.

Dan sangat penting untuk mengelak dari membuat keputusan ketika dalam keadaan terdesak. Atau diasak. Yang mengasak selalunya akan menggasak keuntungan.

Tip #7: Dengar Untuk Memahami Bukan Untuk Menjawab

Mendengar untuk memahami (listen) memerlukan ketiadaan ego. Kerana ramai yang suka didengari berbanding mendengari.

Ianya satu kemahiran yang sangat penting dalam pembentukan peribadi yang disenangi dalam membina kareer atau perniagaan. Bukan bodek puji melangit atau brown noser.

Kemahiran mendengar membantu meningkatkan cara berfikir, walaupun perkara yang didengari itu bertentangan dengan pendapat kita.

Ia akan mengajar kita untuk memahami sudut pandangan yang berbeza dan kenapa perbezaan itu berlaku. Ruang persefahaman terbina menutupi ruang untuk pertelingkahan.

Pokoknya… kita boleh belajar apa sahaja apabila kita membuka mata dan telinga juga deria lain untuk “mendengar”.

Dan kita tidak akan belajar apa-apa apabila suka didengari, tetapi hanya “stroking our ego” kerana mahu kelihatan pandai, berpengetahuan, dan hebat.

Gambar: https://i.imgur.com/

Tip #8: Berterima Kasih Dan Sering Memberi Penghargaan

Apabila ucapan terima kasih diungkapkan secara ikhlas, kita sebenarnya enjoy dengan apa yang diberikan.

Ia satu petanda kesyukuran. Dan ia juga adalah asas untuk menjadi lebih baik dalam apa jua yang kita lakukan. Semakin kuat kita bersyukur semakin luas peluang rezeki akan terbuka.

Tetapi ada juga “terima kasih” yang diungkapkan untuk memerli, sindir dan luahan kemarahan kerana tak puas hati. Abaikan yang itu dan tak perlu belajar bagaimana nak apply.

Tip #9: Doa Oleh Keramat Hidup

Sering kita terlupa akan perkara ghaib, terutama hal doa. Ramai yang sedar tapi ramai juga yang tidak tahu.

Sesetengahnya menganggap kejayaan mereka hari ini adalah 100% atas usaha yang mereka lakukan. Jangan begitu.

Doa ibu-bapa yang dimakbulkan membuka jalan untuk kita mendapatkan apa yang kita mahu dengan lebih mudah. Usaha kita diberkati.

Maka gembirakan hati mereka. Bukan semestinya dengan duit. Kadang-kadang memadai dengan hanya menghantar mesej atau menelefon.

Seorang ayah tidak akan menyuarakan kerinduan terhadap anaknya tapi dengan senyap mendoakan. Tak seperti emak… emak, dia tak simpan perasaan. Terus sound direct.

Mak-mak yang baca artikel ini setuju tak?

Penutup

Sembilan perkara yang disebutkan di atas adalah luahan seorang yang berpengalaman dalam menelusuri jalan kehidupan.

Ada masanya kita menghadapi perjalanan yang sukar. Jalan berliku, berduri dan menongkah arus. Atau pendakian yang memenatkan.

Biarlah… teruskan dan jangan terkeliru dengan segala macam gangguan yang meminta perhatian kita. Yang hanya akan mengacau kita dari mencapai apa yang kita mahukan.

Fokus, bersyukur selalu… dan terus bergerak kehadapan. Selalu lah gembirakan hati ibu-bapa.

Begitulah pesan Pak Hamid kepada aku dan aku harap artikel ini dapat memberikan manfaat kepada kalian yang sanggup baca sehingga sini.

Sekiranya artikel ini memberikan sesuatu yang baik, silakan komen dan juga kongsikan dengan rakan kalian. Terima Kasih…

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.