Mutiara Kata Ini Boleh Bantu Anda Terus Berjaya Atau Selesa Sentiasa - CrazyDuck -->

Header Ads

Mutiara Kata Ini Boleh Bantu Anda Terus Berjaya Atau Selesa Sentiasa

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu mempunyai kuasa ghaib. Mempengaruhi emosi penuturnya dan juga yang mendengar. Ianya cermin keperibadian. Malah budaya sesuatu bangsa. Ia berupaya memacu kehidupan setiap orang. Maka sangat penting untuk memilih perkataan dan pengertiannya.
High-Temple-Rock-Climbing
Tak payahlah naik tinggi sangat tu, bahaya. Cukup kita tengok dari jauh sudah.

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu mempunyai kuasa ghaib. Mempengaruhi emosi penuturnya dan juga yang mendengar. Ianya cermin keperibadian. Malah budaya sesuatu bangsa. Ia berupaya memacu kehidupan setiap orang. Maka sangat penting untuk memilih perkataan dan pengertiannya.

Kau Bahagia Dengan Keadaan Sekarang?

“Baca apa tu PakMad sampai geleng-geleng kepala?” Aku menegur Pak Samad yang sedang melayan smartphonenya.

“Ini haa… saja aku buat carian pasal mutiara kata. Jumpa macam-macam. Dari luaran nampak bagus, tapi bila berlebihan ia menjadi alat memundurkan orang kita."

“Memundurkan? Tak faham lah apa yang PakMad nak sampaikan tu.” Aku menjawab.

“Kau tak faham tak apa. Meh aku tunjuk dan terangkan satu persatu. Kau ada masa?”

“Ada… sebab tu saya cari PakMad petang ni. Nanti bila PakMad dah balik Penang, saya tak ada teman nak tanya itu soal ini.” Aku memberi kepastian yang aku sedia mendengar apa yang mahu diluahkannya.

“OK… aku nak tanya kau satu hal. Adakah kau rasa kau bahagia dengan hidup kau sekarang ni?”

“Kalau ya kenapa dan kalau tak pula kenapa?” Pak Samad menduga aku.

“Ah sudah…” fikir ku. Macamana nak jawab soalan ni. Apa mahunya.

“Hah… kenapa diam jer? Kau tak bahagia eh?"

“Belum puas hati dengan apa yang kau capai setakat hari ini?”

“Masih ada impian yang belum menjadi nyata? Dalam hidup kau, apa yang kau mahu sebenarnya?” Bertubi-tubi Pak Samad mengasak.

“Ya…betul lah apa yang PakMad cakap tu. Tepat.”

“Jadi macamana nak bahagia, mendapatkan apa yang saya mahu, dan mencapai impian dalam hidup?” Aku mengiyakan kata-kata Pak Samad sambil bertanya. Tanpa memberikan jawapan atau point yang specific.

“Ok lah… apa yang nak aku nak cakapkan ini adalah perkara umum. Mungkin terkait dengan kau mungkin tidak.” Sambung Pak Samad.

Apa yang anda fikirkan tentang pemandangan yang cantik ini?

Cuba Teka Berapa Mutiara Kata Dalam Senario Ini Dan Fikirkan Juga Kesannya Kepada Minda

“Untuk mengecapi kebahagiaan, pertamanya kau mesti bersyukur. Bersyukur dengan apa yang ada.” Pak Samad memulakan leterannya terus menerus.

“Kemudian kau jangan buruk sangka. Sentiasa sangka yang baik-baik saja. Stress tak datang. Kalau datang pun cepat hilang. Bersangka baik itu petanda hati yang bersih.”

“Apa pun yang kau capai atau hasil yang kau terima dari usaha kau, itulah rezeki kau. Semuanya sudah tertulis. Kau boleh rancang tetapi Allah sebaik perancang. Kau terima saja dengan redha.”

“Masing-masing sudah punya bahagian rezekinya. Ada yang kaya ada yang miskin. Tiada apa yang nak dihairankan. Apa kau tak yakin dengan rezeki itu semuanya dari Allah? Dan lagi bahawasanya rezeki Allah itu tak pernah tersalah alamat dan waktu tibanya?”

“Dan apabila kau menerima kemalangan atau sesuatu musibah yang melibatkan kerugian, jangan kau rasa kecewa, bersedih hati malah terarah kepada berputus asa.”

“Yakin lah, setiap sesuatu yang berlaku itu semuanya berlandaskan skrip yang sudah tersedia. Kita hanya watak-watak yang melakunkan apa yang diarah.”

“Malah musibah itu merupakan ujian yang Allah mahu mengangkat mertabat seseorang. Selepas setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan. Barang siapa yang bertawakkal kepada Allah dia akan didatangkan rezeki yang tidak disangka-sangka.”

“Sekiranya kau bersedih hati kerana kesusahan yang menimpa, ingatlah masih ramai di sana yang lebih susah dari kamu.”

“Membandingkan diri kamu dengan orang lain yang lebih berada hanya membuat kamu bertambah stress. Mensyukuri akan kenikmatan yang kamu ada berbanding dengan orang lain yang lebih susah memberikan ketenangan.”

"Banyak lagi yang aku jumpa, tapi baik aku berhenti dulu. Dan akhir sekali jangan kau berhenti untuk berdoa. Contohnya seperti doa ini:-"

Ya-Allah-aku-berlindung-kepadaMu-dari-ilmu-yang-tidak-bermanfaat,-hati-yang-tidak-khusyuk,-nafsu-yang-tidak-pernah-puas-(mata-yang-tidak-menangis),-dan-do'a-yang-tidak-diangkat.
Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak pernah puas (mata yang tidak menangis), dan do'a yang tidak diangkat.

Penjajahan Minda Berterusan Melalui Perkataan

“Sebab apa ramai orang Melayu yang jadi kuli bangsa lain? Padahal hasil kerja mereka banyak yang sangat berkualiti.” Pak Samad menukar gear dan tajuk leterannya.

“Mungkin sama juga di Indonesia yang majoriti penduduknya Muslim (87.2%), Kemboja, dan Selatan Thailand. Kuasa ekonomi dipegang oleh siapa? Yang minoriti, kan? Singapura memang semua orang tahu.”

“Tapi apa puncanya? Genetik dan keturunan tahap kedua? Mahu mengaku kah?”

“Boleh dikatakan kebanyakan kilang-kilang, syarikat kejuruteraan, pembinaan, dan pembuatan dipegang atau diterajui oleh bangsa lain.”

“Nak buat masjid yang besar pun kena bagi kontrak pada bukan Muslim. Malah sesetengah kerja renovation pun diberikan pada mereka.”

“Kenapa jadi begini? Merdeka sudah 60 tahun. Tapi minda masih dijajah. Itulah puncanya. Penjajahan minda berlaku melalui perkataan yang diungkapkan.”

“Ada antara perkataan di atas tadi yang membuatkan kita cepat berpuas hati, tak mahu (atau tidak menggalakkan) untuk usaha lebih, tidak mahu ambil risiko, tak mahu membuat perancangan dan sebagainya.”

“Cukuplah gaji atau pendapatan perniagaan kecil-kecilan aku banyak ini. Cukup makan pakai anak bini sudah lah. Kerja kuat-kuat ada banyak duit bukan boleh bawak pergi kubur pun.”

“Sangat berbeza dengan bangsa lain.”

“Jika 20-30 tahun dahulu mereka bermula dengan menyewa tanah orang Melayu membuka kedai hardware. Hari ini tanah itu sudah jadi milik mereka. Atau mereka berpindah dengan membeli tanah yang lebih luas dari orang Melayu.”

“Dan kedai hardwarenya bukan main besar lagi. Bukan satu, malah beberapa cawangan.”

“Ini adalah kerana minda mereka yang berfungsi sebagai minda pedagang. Juga sikap orang yang merantau ke negera orang. Yang sentiasa berfikir, merancang dan dituruti dengan sikap mengambil tindakan. Bukan sekadar sembang kuat di kedai kopi.”

“Mereka juga berjimat cermat dan bijak dengan pengurusan wang. Tidak ada unsur keselesaan diminda mereka. Walaupun hidup sudah sangat selesa.”

“Pendidikan anak bangsa diberikan keutamaan. Mereka mempunyai sekolah persendirian. Tidak mengharap bantuan kerajaan, tetapi bila diberi terutamanya atas motif politik… mereka ambillah.”

“Mereka tidak berlagak ketika dipermulaan. Pakai seluar pendek dan berbaju singlet saja. Bukan mereka berhutang tetapi mereka yang memberi hutang.”

“Maka harga boleh ikut suka berapa mereka nak letak. Yang membeli tidak punya kuasa untuk minta harga rendah bila berhutang. You have cash you have the power.”

Kesan Perkataan Kepada Minda Dan Ekonomi

“Tanpa disedari kita di-“brain washed” untuk jadi pemalas. Menunggu. Meminta. Tuntut hak kelahiran (birth right).”

“Majoriti menjadi masyarakat pengguna. Bukan pengeluar atau peniaga. Suka sangat makan gaji. Income tetap setiap bulan, kepala tak pening serabut untuk memikir. Buat apa yang disuruh dan ikut arahan sudah.”

“Tak baguskah makan gaji PakMad?” Aku cuba provoke Pak Samad.

“Memang bagus dan tak ada salahnya kat mana pun. Malah sangat mulia bila kerja dibuat dengan ikhlas, jujur dan memudahkan orang ramai.” Jawabnya.

“Habis tu apa masalahnya?”

“Masalahnya ialah, majority orang kita mengambil jalan ini. Objektifnya play safe ada pencen sebagai protection diusia tua.”

“Kita bercakap hidup ikut Al-Quran dan Sunnah. Tapi berapa peratus dari orang kita yang ikut sunnah dengan berniaga sebagai pemacu ekonomi?”

“Aku lihat kat kampung-kampung pun yang maju berniaga ialah orang lain. Tetapi yang menjalankan kerja orang kita. Tokeynya datang sekali sekala saja.”

“Pada yang ada kuasa pula boleh lah buat duit extra. Sekali sign masuk ribu-ribu atau juta-juta.” Pak Samad berhenti dan dia kelihatan seperti seakan marah merangkap kecewa tak puas hati.

Pak Samad kemudian menyambung dengan menjelaskan kesan negatif ayat-ayat di atas terhadap ekonomi masyarakat Melayu. Hasil dari penggunaan perkataan yang memacu minda seseorang.

Ya...cerita Pak Samad ini ada sambungannya...

Kesimpulan Sebelum Episod Seterusnya

Bahasa pertuturan merangkumi kata-kata, perkataan, dan ayat yang dilontarkan secara spontan.

Apa yang biasa diungkapkan termasuk caranya merupakan keperibadian seseorang. Bila ramai ia menjadi budaya kumpulan. Kalau dalam pekerjaan ianya budaya syarikat atau pejabat.

Pembentukan bahasa mengambil masa yang lama dan kesannya ialah ia sesuatu yang kekal. Dipengaruhi oleh persekitaran terutama semenjak kecil. Ianya pendidikan dan pembinaan system kepercayaan dalam diri.

Penggunaan bahasa itu sendiri akan memandu arah kehidupan seseorang, kumpulan, malah bangsanya. Ya… perkataan dan kata-kata itu punya kuasa ghaib… samada kita sedar atau tidak.

Silakan share. Butangnya kat bawah ni. Terima kasih.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.