Akibat Rasuah Kekuatan Parti Keramat Musnah - CrazyDuck -->

Header Ads

Akibat Rasuah Kekuatan Parti Keramat Musnah

Rasuah telah menumbangkan parti keramat. Perangi dan hapuskan rasuah supaya parti yang kini memerintah dapat membina budaya dan peradaban bangsa. Yang sudah mendapat tempat dan jawatan juga kuasa gunakanlah sebaiknya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Light-moment-Najib,-Hishamuddin,-and-Zahid
Gambar: Shahfuan Shahrani

Selepas 60 Tahun Kekebalan Yang Dirasai Rupanya Bertukar Menjadi Racun

Dua tahun lalu aku menulis 23 artikel dalam blog ini yang fokusnya berkisar kepada RASUAH. Bukan kerana aku seorang yang pakar dalam memberi atau menerima rasuah. Bukan juga bidang aku dalam menangani masalah rasuah.

Tetapi adalah kerana kegusaran aku akan kesannya terhadap negara ini. Terutamanya rakyat biasa macam aku. Yang tak punya pangkat (kuasa) atau kabel dengan orang politik.

Tidaklah sampai terbayangkan yang rasuah ini antara punca utama kejatuhan parti pemerintah yang berkuasa sejak 60 tahun lalu. Ini memberi erti kebanyakan rakyat juga tidak bersetuju dengan slogan “Cash is King.”

Dalam bahasa Hokkeinnya “Boleh Kaw-Team.” Satu sebutan oleh kaum Cina yang sangat merendahkan pandangan mereka terhadap orang Melayu.

Terutamanya pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa. Kuasa untuk meluluskan atau kuasa untuk mengeluarkan saman. Juga kuasa untuk memberhentikan sesuatu operasi.

Mereka yakin majoriti orang Melayu boleh dibeli. Keyakinan yang ada asasnya. Terutama dari pengalaman berpuluh tahun mereka berniaga dan mengemudi perusahaan. Mereka tahu selok-belok di mana “Cash is King” boleh merubah keadaan. Keadaan yang memihak kepada keuntungan bagi mereka.

Pokoknya, ada cash segalanya bisa diatur. Tak percaya? Mudah saja. Pergi berjumpa dengan pemandu lori jarak jauh seperti dari Penang ke Johor. Berapa bekalan yang disediakan oleh majikan mereka untuk memberi "derma."

Sedikit Kelegaan

Aku sudah hampir hilang harapan apabila terus menerus dipaparkan satu demi satu Jabatan Kerajaan digunakan untuk melindungi jenayah terancang. Orang yang waras akan dapat menghidu “kewarasan” penjelasan yang diberikan oleh menteri-menteri.

Contoh mudah ialah tentang "KBS kehilangan wang berjumlah RM 100 juta." Kisah lembu dan kondo yang melibatkan RM 250 juta pun sehingga hari ini belum ke mana. Terlalu banyak jika mahu disenaraikan hal yang serupa, termasuklah "derma-derma."

Terbaru sebelum beberapa minggu PRU-14 diadakan, undang-undang “Fake News” diluluskan dengan mudah oleh Parlimen. Ianya lebih kepada menyekat hebahan yang benar tetapi boleh dikategorikan sebagai palsu apabila ianya didakwa sebagai palsu.

Tujuannya ialah menyekat kemaraan pengaruh oleh media social yang menyokong parti lawan dan mengancam kemenangan mereka.

Manakala Stesyen TV boleh pula terus menerus menghidangkan berita yang ada ketikanya sangat memualkan untuk diterima.

Sehinggakan aku terus tidak melihat TV selama bertahun-tahun. Surat khabar langsung tak pernah aku beli. Kerana kebanyakan berita yang disiarkan adalah “benar belaka.”

Namun, pada aku keputusan PRU-14 ini memberikan sedikit kelegaan.

Bukan disebabkan PH menang, tetapi gambaran terhadap rasuah dimasa akan datang.

Tidak pasti apakah harapan aku ini akan menjadi kenyataan atau tidak. Tak apalah jika 100% rasuah itu tidak dapat dihapuskan, tetapi harapnya berkuranglah.

Peradaban dan Budaya

Berkurangan jenayah rasuah bukan hanya semata-mata kerana undang-undang yang tidak bertolak ansur dengan jenayah salah laku rasuah. Tetapi juga kerana kesedaran dari sudut keagamaan yang meningkat.

Peradaban dan budaya yang membawa kepada ketamadunan bangsa. Etika dan integriti dalam menjalankan tugas dan tanggung jawab.

Etika dan integriti yang berlaku secara semula jadi tanpa perlu mengambil kursus di INSPIN atau mana-mana Institut Integriti.

Kewujudan Institut ini sendiri sebagai mengakui betapa teruknya tahap integriti di dalam pentadbiran kerajaan yang lalu. Sekiranya institut ini boleh ditiadakan pada suatu hari nanti, bermakna kerajaan yang memerintah pada ketika itu merupakan kerajaan yang berjaya menghapuskan rasuah.

Kerajaan yang berjaya mendidik bangsa Malaysia. Bangsa yang bertamadun dan punya peradaban tinggi. Masyarakatnya tidak lagi membuang sampah merata-rata, tiada caci maki dalam media social. Tiada merendah-rendahkan orang lain. Berminda terbuka tidak mengakui hanya dirinya seorang yang pandai lagi betul.

Heh… aku berkhayal ke ni? Biarlah… sekurang-kurangnya aku dapat membayangkan salah satu ciri bangsa Malaysia yang maju yang punya peradaban tinggi dan bebas rasuah.

Rasuahlah yang merosakan Parti Keramat ini. Kerana di dalamnya ramai yang mencari sumber kekayaan melalui pangkat dan jawatan. Tiada belas kasihan kepada ahli dan rakyat bawahan.

Najib-dan-Rosmah-dalam-kesugulan
Gambar: Zamri Azbi

Sekiranya Parti Keramat yang kini tiada lagi Daulatnya terus menang dalam PRU-14 lalu, entah apa akan jadi dengan budaya rasuah ini. Mudah-mudahan ini titik permulaan bagi kita untuk merdeka dari penjara minda yang diselaputi oleh slogan “Cash is King.”

Merdeka dari pemimpin dan penjawat awam yang menggunakan pangkat dan kuasa untuk memperkayakan diri mereka sendiri. Melalui pemberian. The more you give the more you get back.

Kesan peradaban yang mampu mengubah kebanyakan individu, iaitu bermula dengan diri individu itu sendiri untuk menjadi makhluk yang terbaik. Insya’Allah… bermula dengan diri, ia akan diikuti oleh keluarga, masyarakat di sekeliling dan akhirnya negara akan menjadi lebih baik.

Ya… aku berangan lagi ni. Namun bertindak dengan menulis angan-angan ini bermaksud bukan satu impian kosong. Anda juga boleh bertindak dengan menekan salah satu butang di bawah agar dapat mengulang baca artikel ini dilain ketika.

Jangan Ada Lagi Kata-Kata Menyakitkan Hati dari Pak Menteri

Seringkali apabila ada sesuatu isu itu timbul dan menjadi viral dalam media social, akan muncul lah kenyataan dari Menteri. Lalu menjadi super viral.

Seolah-olahnya kelayakan asas untuk menjadi menteri ketika itu ialah kebolehan mengeluarkan kenyataan yang setaraf dengan 20 senarai di bawah.

Sekali pun ianya lawak, jangan tunggu sehingga kena kecam dengan teruk baru mahu berkata “saya melawak saja hari tu.”

Diharapkan menteri yang baru dilantik dan bakal dilantik tidak akan sewenang-wenangnya merendahkan martabat mereka dengan kenyataan dan lawak yang mengundang penghinaan.

Pesanan-TMJ-pada-ahli-politik-dan-menteri-yang-berjenaka
Teguran TMJ. Gambar:- Sam MY

Senarai 20 kenyataan menteri yang menjengkelkan:-

1. Kualiti pendidikan di Malaysia lebih baik berbanding USA, UK dan Australia.
2. Bukan keputusan kerajaan BN bila harga minyak naik.

3. Jangan beli sayur kalau harga naik, tanam sayur sendiri.
4. Kerajaan naikkan harga gula untuk kurangkan kes kencing manis.

5. Jangan makan ayam kalau harga naik, boleh makan ikan atau daging.
6. Hanya ahli kongsi gelap yang menjadi mangsa jenayah berat.

7. Harga kangkung turun kenapa tak puji kerajaan, ini tidak adil.
8. Hantar anak ke luar negara jika bantah pelan pendidikan.

9. Tidak apa jika ada unsur rasuah dalam pembelian senjata.
10. Buat wayang pacak filem “Tanda Putera” di setiap padang rumput di Pulau Pinang.

11. Malaysia negara terbaik di dunia urus banjir.
12. Jika tidak mahu membayar tol jangan guna jalan bertol.

13. K-POP menjana RM 140 juta kepada negara.
14. Jangan beli rumah kalau harga rumah naik.

15. Individu yang tidak suka dengan system pilihan raya negara ini sewajarnya “duduk dalam hutan.”
16. Ejek PM bermakna anda ejek diri sendiri.

17. Harga meletakan kereta di Bandaraya Kuala Lumpur patut dinaikkan sehingga RM40 sejam.
18. Malaysia antara negara terbaik rasuah.

19. Kalau tak suka undang-undang Malaysia, sila keluar dari Malaysia.
20. Bawa bekal makan tengah hari atau masak makanan di pejabat bagi menangani kos sara hidup yang meningkat.

Rakyat Memerhati, Menilai, dan Sampai Masanya Mengundi

Penyokong-Parti-Pakatan-Harapan
Gambar:- Nashita Md Noor

Ketika ini di mana maklumat boleh bergerak dari seseorang atau sekumpulan orang dengan sekelip mata, para menteri sentiasa dalam pemerhatian. Bukan mereka saja, malah ADUN dan MP juga.

Rumah mereka bagaimana. Apa kenderaan milik mereka sebelum dan selepas PRU-13 dan PRU-14. Adakah kereta-kereta seperti Audi Q7, Toyota Vellfire, BMW, Motor Honda Gold Wing, Mini Cooper, Toyota Land Crusier, Lamborghini, Mercedes yang berbagai model dan kereta mewah lainnya ada pada pemilikan mereka.

Jika ada, adakah pembeliannya secara tunai atau bagaimana? Juga mampukah mereka membelinya kiranya hanya bergantung kepada gaji?

Ya… para menteri sekalian, rakyat semakin bijak dan berani. Kalian sentiasa diperhatikan. Tanpa sedar keputusan PRU-15 nanti anda dipinggirkan. Don’t take us for granted.

Anwar-Ibrahim-selepas-dibebaskan-dari-penjara
Gambar:- malaysiakini.com

Penjawat Awam Pencen Pada Usia 60 tahun

Usia Parti Keramat yang tamat kuasanya setelah 60 tahun bersamaan dengan usia wajar pencen bagi penjawat awam. Namun bagi mereka yang bersifat pejuang, usia hanyalah nombor.

Tulisan di bawah ialah petikan dari posting pada facebook yang dibuat oleh Shafinaz Mohd Saad. Apa yang aku harapkan pada yang membacanya ialah lahirlah sebuah keinsafan dalam diri.

Bagaimana seorang yang berusia 93 tahun masih bekerja keras demi mencapai cita-citanya. Ia itu mahu melihat rakyat negara ini bebas dari cengkaman rasuah. Rakyat yang memiliki minda merdeka. Merdeka dari budaya rasuah dan slogan “Cash is King.”

Itu “dia”… kita pula mahu bebas dari apa? Cita-cita kita apa? Apakah usaha kita selari dan setimpal dengan apa yang dicita-citakan? Tepuk dada tanya selera. Terutama ketika Ramadhan ini.

Perjuangan Terakhir Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

Dr-Mahathir-berucap-selepas-beberapa-jam-PRU-14-berakhir
Tun M berucap selepas PRU-14. Gambar:- Lai Seng Sin , Reuters

Aku sudah di penghujung nyawaku. Aku hanya mahu menghabiskan sisa-sisa hidupku dengan bersimpuh dan bersujud pada Yang Esa.

Namun bagaimana aku bisa khusyuk dalam khalwatku. Kerana tika ku pejamkan mata, aku melihat anak bangsaku dikotak-katikkan. Aku nampak hak generasi mudaku dirobek-robek.

Dek tangan-tangan rakus yang berqiblatkan syaitan.

Aku tahu aku perlu berbuat sesuatu. Aku bukan orangnya untuk diam berpeluk tubuh. Memerhatikan segala macam kemungkaran, segala macam salah laku dan segala macam noda.

Yang dibuat tanpa sebarang rasa berdosa.

Ya Allah Ya Tuhanku. Kini aku tahu kenapa Kau memanjangkan nyawaku. Dengan sifat Rahman dan RahimMu, pada usia 93 tahun aku masih boleh berdiri gagah, masih dikurniakan kesihatan yang baik, masih berfikiran waras dan masih bersemangat waja.

Dalam menghadapi perjuangan terakhirku.

Syukur Alhamdulillah. Dengan izinMu aku telah berjaya mempertahankan yang Haq, menundukkan yang Bathil.

Mudah-mudahan selepas ini aku dapat memejamkan mataku dengan tenang. Semoga rohku dapat bertemu Penciptanya dengan aman.

Cuma satu pintaku…

Setelah aku pejam mata. Janganlah diperbesar-besarkan namaku. Jangan nukilkan apa-apa tentangku. Anggaplah segala-galanya jariahku. Sebagai bekalanku di akhirat kelak.

Andai sudi…

Tika itu cuma hadiahkanlah Al-Fatihah untukku. Moga jadi pendinding menghadapi Munkar dan Nangkir. Moga jadi bekal bersoal-jawab di Mahsyar. Moga jadi modal bertemu Yang Khaliq.
Amin Ya-Rabbal 'alamin.

Penutup

Pada ahli politik yang berada ditampuk kuasa, gunakan suara rakyat termasuk yang dari media social untuk memperbaiki diri dan perkhidmatan. Jangan dihalang apa yang rakyat dan pengundi mahu suarakan.

Belajarlah dari apa yang berlaku sebelum dan selepas PRU-14.

Apabila ada suara ikhlas yang menyuarakan kepincangan lalu pemilik suara itu dihukum, maka kita akan dikelilingi oleh tukang bodek. Yes man. Yang hanya mementingkan poket dan periuk nasi sendiri.

Akibatnya kita akan jadi "delusional" and "drunk on our own Kool-Aid". Iaitu perasan dan syiok sendiri. Lalu tumpas dan dihempas.

Sudikan tekan butang bawah ni, ya... Terima Kasih.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.