Mengenal Cara Penipuan (Scam) On-Line Dan Elak Dari Ditipu - CrazyDuck -->

Header Ads

Mengenal Cara Penipuan (Scam) On-Line Dan Elak Dari Ditipu

Pada yang belum terkena, agak sukar untuk mengenal jika sesuatu tawaran itu ada unsur penipuan (scam) atau tidak. Namun, bila sudah terbiasa dengan cara mereka… baunya dapat dihidu dengan cepat walaupun berkilometer jauhnya.
Mudah-buat-duit-on-line-sejuta-dollar-dalam-masa-2-minit.-Apa-punya-gila-ni.
Figure 1. Contoh pemasangan umpan yang menarik perhatian mereka yang sangat memerlukan duit dengan cepat. Gambar hiasan dari Youtube

Pada yang belum terkena, agak sukar untuk mengenal jika sesuatu tawaran itu ada unsur penipuan (scam) atau tidak. Namun, bila sudah terbiasa dengan cara mereka… baunya dapat dihidu dengan cepat walaupun berkilometer jauhnya.

Yang tak biasa atau belum pernah terkena akan cepat termakan umpan-umpan yang diberikan. Kerana umpan ini sangat menarik. Nampak sedap. Mengguirkan. Boleh bagi meleleh… lihat saja tajuk dalam gambar kat atas tu.

Bagaimana membuat sejuta Dollar secara on-line dalam masa 2 minit.” Tajuknya sangat mencuit untuk orang ambil tahu. Macam digeletek-geletek digaru-garu kepala hotak tu supaya melihat videonya.

Duit Punya Hal Orang Bijak Pun Boleh Terganggu Emosi Mereka

Penipu (scammer) berpengalaman ini “sangat bijak” menggunakan emosi dan keinginan manusia.

Pengalaman ini mereka kumpulkan melalui percubaan dan diperbaharui mengikut peredaran masa dan dengan golongan mana yang menjadi target mereka.

Sebagaimana mereka tahu dan memahami naluri semula jadi manusia untuk kerja menipu, bakal mangsa juga mesti kena tahu bagaimana naluri itu (nak ambil tahu) dikawal untuk mengelak dari tertipu.

Secara nalurinya, kita mahu mengelak dari kesusahan dan kesakitan. Kita mencari keseronokan dan apabila melakukan sesuatu kita mahu mendapat upah atau penghargaan secepat mungkin.

Ya… semua orang begitu. Err… ada satu dua pengecualian kot, erk? Cuba tanya diri sendiri.

Sebolehnya kita tak mahu langsung ada kerunsingan pasal duit. Macam-macam nak bayar.

Pada sesetengah orang, duit menjadi nadi dan paksi kehidupan. Sampai ada yang sanggup berhutang keliling pinggang supaya “kelihatan senang”.

Kebanyakan orang mahu hidup senang. Bukan sekadar senang, tetapi, senang dengan pantas. Duit banyak. Bebas nak buat apa. Boleh travel ke sana ke mari luar dan dalam negeri.

Sekiranya apa yang aku tulis dari omongan Pak Hamid tadi tak betul… mohon bagi tau dalam ruangan komen.

Dan aku ada soalan… kenapakah syarikat judi macam loteri, nombor ekor tu [Sports Toto, Da Ma Cai 1+3D, Magnum 4D] masih terus hidup dan kaya raya?

Sebabnya ramai yang pergi main.

Orang seronok dan ketagih berimpian. Walaupun tahu peluang untuk menang itu kebarangkaliannya sama macam nak kena tembakan petir dalam bangunan Petronas Twin Tower.

Realitinya… Kehidupan Tak Sama Dengan Impian Yang Tiada Asas

Setiap orang perlu bekerja, samada makan gaji atau berniaga. Termasuk juga pelabur.

Guna tenaga dan kemahiran atau kebjiaksanaan berfikir. Yang sudah berduit dan ada lebihan, dia perlu uruskan pelaburan dengan betul untuk duit tu beranak pinak.

Kerja tetap kena buat.

Hasil jangka panjang seperti “passive income” hanya datang dari kerja kuat, penuh dedikasi dan kesungguhan (passion). Ini semua orang tahu. Yang tak sekolah sekali pun.

Namun, bagi sesetengah orang…

Apabila melihat iklan yang menawarkan betapa mudahya membuat duit, terutamanya on-line, kita akan hilang kewarasan berfikir lalu menyerah (tanpa sedar). Keinginan membuat duit dengan mudah dan kejayaan “pintas” sangat kuat pengaruhnya.

Contoh-pendapatan-berjuta-juta
Figure 2. Contoh pendapatan berjuta-juta yang dipaparkan. Tak teringin ke?

Duit-sebagai-tarikan-utama-dalam-network-marketing
Figure 3. Duit sebagai tarikan utama yang dijadikan ukuran kejayaan.

Buat Duit Ketika Tidur

Ya… sangat ramai orang yang mahukan cara membuat duit dengan banyak dalam masa yang singkat tanpa perlu bersusah payah. Tidur pun duit masuk. Lihat iklan di bawah ni.

Video-tarikan-membuat-duit-dengan-pantas-tak-perlu-kerja-kuat-kuat
Figure 4. Paparan pada halaman carian yang mengumpan pembaca untuk masuk ke Website membuat duit dengan mudah dan pantas.

Warren-Buffet-membuat-duit-semasa-tidur
Figure 5. Kata-kata Warren Buffet ini sering digunakan sebagai senjata atau tarikan untuk menyertai skim buat duit dengan "passive income". Tak perlu kerja teruk bersusah payah untuk kaya dengan cepat. Memang ada ramai yang berjaya tetapi mereka simpan rahsia untuk diri sendiri untuk jadi lebih kaya.
Lalu kata-kata dari Warren Buffet disumbatkan dalam ingatan. Yang berbunyi “Sekiranya kamu tidak dapat mencari jalan membuat duit semasa tidur, kamu akan bekerja sehingga mati.”

Lalu mereka menawarkan cara membuat duit sambil tidur atau berangan dan berimpian. Menghilangkan beban stress untuk ke tempat kerja. Monday blues…

Atau pun benci dengan kerja sediada.

Dan cara ini hanya ditawarkan oleh sindikit penipuan (scam) untuk orang awam terutama newbie yang sudi disembelih.

Kalau nak tahu dan faham bagaimana sindikit scam ini menjerat mangsanya… teruskan membaca.

Kalau sudah tahu boleh stop di sini dan tekan butang bawah supaya orang lain yang tak berapa tahu boleh dapat manfaat juga.

Sebabnya… masa anda sangat berharga. Anda sibuk dengan tugasan dan tak sempat nak tulis panduan bagaimana mengelak dari kena scam. Harap tulisan yang aku ambil dari bebelan Pak Hamid ini membantu.


Yang ada masa dan mahu terus membaca… meh kita tengok. 8 tanda-tanda penipuan on-line.

Mengenali Penipuan Atas Talian (On Line Scam)

Berikut adalah bebelan Pak Hamid kepada aku macamana dia dapat mengenali jika sesuatu tawaran itu mempunyai unsur scam.

Ya… dia mengakui sudah terkena beberapa kali. Banyak duit habis terbakar macam tu saja. Tapi dia dapat pengalaman yang tak diajar dalam kelas.

1. Tawaran Membuat Banyak Duit Dengan Pantas

Tawaran ini datang dalam berbagai bentuk iklan melalui berbagai media. Samada smart phone atau website.

Apa sahaja yang menawarkan skim yang memberi “pulangan” ratusan Ringgit sehari atau ribu-ribuan sebulan tanpa bersusah payah – 99.99% adalah scam.

Penjelasan tentang contoh tawaran dan ayat-ayat yang digunakan diterangkan pada artikel selanjutnya, sambungan dari artikel ini.

Total-freedom-when-have-lots-of-money
Figure 6. Contoh pesanan yang mengusik minda separa sedar pembaca tentang keseronokan bercuti tanpa perlu risau tentang duit dan masa. Total freedom.

2. Kisah Kejayaan Yang Bertubi-Tubi [Testimony atau Penceritaan]

Sering kisah sedih dan susah payah dipaparkan. Setelah menemui “rahsia kejayaan” dengan teknik membuat duit secara pantas orang yang dulunya miskin menjadi kaya raya.

Gambar sebelum dan selepas menemui rahsia ini dipaparkan. Dari rumah buruk, kereta hampir barai kepada kereta mewah, rumah banglo dan juga tempat-tempat percutian mewah.

Kerjanya hanya bercuti dan luangkan masa 20 minit sehari. Itu saja. Duit masuk ribu-riban setiap hari.

Bukan dari seorang. Malah video juga disertakan yang menunjukkan orang-orang yang pernah susah memberikan testimony mereka.

Lalu mengajak anda untuk hidup mewah seperti mereka.

Selepas meleleh air liur melihat kemewahan hidup mereka, anda pun ditawarkan e-book “Rahsia Jutawan Senyap Terbongkar” pada harga RM 49.90 (tajuk dan harga hanya sebagai contoh).

3. Tawaran Murah Diikuti Dengan Tawaran Baru (Up-sell)

Ada jenis tawaran untuk menjadi ahli “group” tertentu dengan membayar yuran. Latihan diberikan dalam bentuk video bersiri.

Honey-moon-dan-percutian-tanpa-ada-gangguan
Figure 7. Contoh gambar percutian tanpa ada gangguan. Hidup senang lenang ke mana mahu pergi duit bukan soalnya.

“Oh… murah jer yurannya. Tak sampai RM 50 pun.” Anda fikir dan meleleh air liur melihat percutian di luar negara dan lain-lain kemewahan. “Berbaloi sangat ni…”

Sampai suatu masa, anda akan ditawarkan produk tertentu dengan suatu harga. Untuk mendapatkan latihan seterusnya, anda perlu membayar harga produk “digital” tersebut.

Lepas satu, satu lagi tawaran untuk upgrade. Setiap upgrade hanya RM 49.90. Dan anda terus diberikan produk digital melalui download.

Bukan tak ada nilai langsung produk yang diberikan tetapi impian membuat duit dengan pantas tanpa kerja hanya tinggal impian.

Akhirnya anda kecewa dan tak boleh dapatkan semula duit yang dibayar. Kerana anda hanya berurusan dengan robot. Robot yang sentiasa bersedia menyedut duit anda.

4. Website Yang Hanya Memaparkan Video dan Mangsa Tak Boleh Nak Lari

“Yang ini aku pernah terkena waktu mula-mula berjinak dengan hal-hal on-line.” Kata Pak Hamid…. dan menyambung lagi…

Bermacam video yang sememangnya memberikan motivasi. Ianya diakhiri dengan meminta aku mengisi maklumat terutama e-mail dalam ruangan yang diberikan.

Selepas subscribe dengan e-mail, bertubi-tubi datangnya email yang bila dibuka suruh kita beli produk dia atau jadi ahli.

Bila kita ignore tawaran perlama, keluar pula tawaran kedua yang lebih murah disertai dengan ayat-ayat memujuk atau mengatakan betapa ruginya kalau tak ambil dan betapa sangat beruntung kalau membeli.

Memang boleh terperangkap…

Ini kerana sistem yang mereka bangunkan memustahilkan untuk keluar dari website mereka, kecuali dengan OFF computer. Bila ON semula buang semua cookies yang sudah mereka pasang secara "delete browsing history.”

5. Tawaran Terhad Hanya Kepada Beberapa Orang Sahaja

Biasa baca “tawaran ini hanya untuk 100 orang terdahulu”? Atau pun “tawaran ini akan ditutup tepat jam 11:59 pm esok”?, atau suatu tarikh dalam masa 3-4 hari lagi?

Ini ialah untuk mencetuskan rasa untuk berebut (sense of urgency) tak mahu terlepas peluang. Setelah anda diasak dengan ayat-ayat dan gambar-gambar penuh inspirasi. Anda diasak pula dengan arahan untuk “membeli sekarang”.

Ayat-ayat seperti ini diletakkan pada bahagian hampir di penghujung halaman web site. Juga disertakan cara pembayaran. Samada kad kredit, Pay Pal, atau maklumat Bank untuk on-line banking.

Bagi aku… bila saja jumpa ayat yang sebegini, aku ada dua pilihan.

Pertama, aku akan terus layan website tersebut dan study lebih mendalam lagi cara sesuatu proses penjualan itu dilakukan. Iaitu jika nampak macam menarik dan ada ilmunya.

Kedua… bila terlalu jelas akan kemungkinan ianya satu perangkap, aku akan cabut lari macam gajah lari naik bukit bila dia mengesan amaran Tsunami.

Telinga gajah sangat besar dan sangat sensitif dengan gegaran bumi… begitu juga jika kita mahu mengelak dari kena scam. Kena mampu dengar pada tahap “nano decibel” bukan tahap suara.

Tapi itu hanya mungkin apabila sudah mengenali dan cekap mengesan tahap keberangkalian untuk kena scam.

6. Sales Funnel Dengan Testimony dan Komen Palsu

Apps seperti Facebook Messenger, WhatApp, Instagram, WeeChat, Twitter, Telegram merupakan medium utama bakal pelanggan (mangsa) dihubungi.

Bila mangsa melayan, mereka akan dibawa ke Website yang mempunyai landing page. Sama maksud dengan “halaman mendarat.”

Setelah mendarat, mangsa akan diumpan dengan pelbagai kata manis dan janji melangit. Termasuk puji-pujian dari “pelanggan” lain.

Testimony dalam bentuk komen seperti yang biasa terlihat pada Facebook pun ada juga. Kebanyakan komen adalah memuji atau sedikit “kasar yang disengajakan.”

Tetapi bila di”hover” mouse pada nama atau gambar mereka, tak keluar maklumat lanjut sepertimana yang ada di Facebook. Kerana ianya adalah komen palsu. Sila rujuk gambar di bawah.

Figure 8. Komen atau testimony palsu tidak mempunyai pautan pada nama atau gambar. Komen ini "live" kepada sumbernya yang sahih.

Jika mangsa tidak menyedari akan kepalsuan ini, dari situ segalanya bermula. Konsep ini dinamakan “Marketing atau Sales Funnel.”

Sebelum terjerat dihujung funnel… baik cabut lari dulu.

7. Uji Website Yang Tak Punya Khidmat Pelanggan

Sesetengah scammer menggunakan e-mail untuk mengumpan mangsa. Umpan pertama selalunya dalam bentuk e-book percuma.

E-book ini mengandungi maklumat, panduan, atau cerita motivasi yang bagus.

Kemudian funnel seperti di atas terutamanya e-mail akan digunakan bagi memerangkap “pelanggan”.

Apabila mendapat e-mail lanjutan dari mereka, buka dan layan lah. Biasanya e-mail ini akan membawa mangsa ke website tertentu (seperti landing page) untuk diumpan lagi.

Untuk mengenal sekiranya website itu memang sah, pertama sekali perlu ada maklumat untuk “contact”, “help”, atau “customer support”.

Kemudian uji lah.

Hantar e-mail kata nak “inquiry” barang. Tengok berapa cepat dapat balasan. Jangan beli apa-apa. Kalau ini pun tak response, boleh tutup case.

Atau pun kata nak pulangkan produk dan minta refund duit. Barang ada masalah. Ada response ke tak? Kalau senyap dalam masa 3 hari… butang sangka buruk boleh ditekan.

Kalau terus senyap melebihi seminggu… anda sudah tahu dengan siapa anda berurusan.

Tapi kalau maklumat untuk “contact”, “help”, atau “customer support” langsung tak ada, tak perlu uji apa-apa. Faham sudah.

Dan Pak Hamid mengangkat keningnya pada aku. Ya, aku faham maksudnya… “boleh belah.”

8. Gambar atau Video Menayangkan Pendapatan Ahli Yang Sudah Berjaya

Biasanya ini dari MLM atau Network Marketing. Ada GURUnya. Di Malaysia lebih terkenal dengan panggilan SIFU.

Bukan bertauliah pun… hanya sendiri melabelkan diri tu sebagai guru atau Sifu.

Ada circle sendiri yang saling puji memuji dan bodek membodek. Tujuan untuk tarik peserta baru kerana itulah sumber baru komisyen mereka.

Seminar-kejayaan-bagaimana-membuat-duit-dengan-mudah
Figure 9. Seminar kejayaan bagaimana membuat duit dengan mudah sering mendapat sambutan hangat.

Pendapatan mereka ialah dari komisyen keahlian dan ahli yang membeli produk samada untuk kegunaan sendiri atau dijual semula.

Tapi ini bukan scam hardcore yang menipu tu. Ini soft scam, sebab ada barang yang bertukar tangan dan transaksi keahlian yang sah.

Yang untungnya ialah mereka yang berada diperingkat awal dan banyak downline.

Downline lah yang kena kerja teruk cari “ahli” baru dan bayar yuran setiap bulan untuk dapat komisyen dari ahli baru. Yuran dan pembelian mereka untuk bayar komisyen orang atas.

Tetapi kalau jenis yang melibatkan “hyped claim” buat duit mudah guna system automatic mereka dan ahli baru sentiasa bertambah tak perlu buat kerja, itu memang hardcore punya jenis.

tarikan-membuat-duit
Figure 10. Contoh gambar dan tarikan membuat duit. Menjelajah untuk mengkaji cara persembahan mereka dan cara mereka menarik minat pembaca untuk menyertai program mereka sangat berfaedah. Boleh mengenal kesahihan apa yang dicanangkan. Ada ilmu di dalamnya.

Cara terbaik untuk mengenali bagaimana mereka beroperasi ialah dengan mengendap dan mengkaji. Kerajaan pun ada badan risikan mereka, kan?

Apabila berjumpa dengan paparan seperti 4 gambar di atas, jangan segan untuk menjelajah. Ia peluang terbaik untuk mengenali mereka. Hanya jangan terus terpalit, sudah.

Di bawah ini berkemungkinan salah satu dari contoh terbaik yang akan membawa anda ke website mereka. Perhatikan dan kaji cara penyampaian mereka.

Kesimpulan dan Penutup

Bagi orang biasa-biasa terutamanya newbie, tak ada jalan mudah dan pintas membuat duit on-line ni.

Apatah lagi mahu hidup seperti dalam mimpi. Atau macam dalam drama boleh bebas ke sana ke mari. Tanpa ada kerisauan tentang duit untuk perbelanjaan. Sentiasa punya masa untuk perjalanan.

Aku hanya berkongsi semula apa yang diceritakan oleh Pak Hamid. Sambungan selepas ini agak lebih mendalam tentang pengalamannya dengan cara on-line scammers beroperasi.

Nota:- Newbie ada yang berumur 50 tahun ke atas dan berkemungkinan lebih payah untuk buat duit on-line. Ini kerana perkara teknikal tentang website dan Apps – seperti HTML, CSS, PHP, dan coding yang lain. Kecualilah kalau memang sudah terbiasa dengan kerjaya sebelum ini.

Juga perbezaan budaya dan pemikiran dengan generasi baru yang lebih gemar berinteraksi dan membeli secara on-line.

Tetapi melalui pengalaman, mereka mungkin lebih cekap mengenali jika sesuatu itu ada unsur scam. Cara pergerakan mereka lebih berhati-hati.

Manakala newbie yang muda pula sangat berkemungkinan bersikap gelojoh dan mudah terpikat dengan ayat-ayat yang memukau.

Gambar-gambar kemewahan seperti kereta idaman. Ditambah pula dengan nombor-nombor pada cek dan akaun bank yang dipaparkan.

Akhir sekali… berhati-hatilah dengan keterujaan tawaran yang menjanjikan kesenangan dan kemewahan secara pantas.

Memang caranya ada, tetapi orang yang sudah berjaya selalunya menyimpan sebagai rahsia ketat untuk diri mereka atau kumpulan mereka sahaja. Ia ibarat hak peribadi dan rahsia perniagaan.

Big-Why-inspirasi-buat-duit-dengan-mudah
Figure 11. Perkataan "Big Why" sering digunakan untuk membuka minda pendengar atau pembaca supaya menurut kepada program yang mereka lancarkan.

Big Why fokus kepada kemahuan bakal pelanggan yang akhirnya memenuhi kemahuan orang yang bercakap. Mereka hanya berkata "kami mahu menolong kalian mencapai apa yang kalian mahu."

Apabila ditawarkan untuk pembelian, sudah tentu mereka memikirkan keuntungan terlebih dahulu. Ianya sebuah perniagaan.

Perkataan “BIG WHY” sering digunakan untuk melembutkan hati bakal pembeli. Ada yang telus dan sudah tentu ada yang jenis scam.

Walaupun dalam ayat mereka, mereka mengatakan “kami hanya mahu berkongsi rezeki dengan orang yang betul-betul serious.”

Dan aku membalas kata-kata penutup Pak Hamid dengan berkata “Seriously… you have been scammed and you are not alone.” Dia bagi jari tanda suka tapi anda boleh tekan butang bawah ni tanda anda juga suka dan setuju.

2 comments:

  1. Betul ini semua scam untuk orang atas capai dulu cth mlm - AJ

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Leen sudi datang melawat. Ada masalah teknical tak boleh reply. Malas nak godek HTMLnya.

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.