Jana Untung Berterusan Melalui Kejujuran Dalam Perniagaan - CrazyDuck -->

Header Ads

Jana Untung Berterusan Melalui Kejujuran Dalam Perniagaan

Ilmu dan latihan sangat penting. Kejujuran pula perkara utama. Tersangkut dan disailang perkara biasa. Keputusan tepat tindakan pantas sambil berwaspada boleh elak dari tersungkur. Yang jujur dan ikhlas akan terus mara.
Seronok-makan-pizza
Seronok makan pizza. Gambar hiasan dari https://www.twenty20.com

Ilmu dan latihan sangat penting. Kejujuran pula perkara utama. Tersangkut dan disailang perkara biasa. Keputusan tepat tindakan pantas sambil berwaspada boleh elak dari tersungkur. Yang jujur dan ikhlas akan terus mara.

Hati Puas Perut Kenyang Keluarga Girang

“Yey-yey… ayah balik.”

“Ha… dah. Pergi ambil piring untuk semua orang.” Mak Mah memberi arahan pada Aiman yang keriangan kerana tahu ayahnya membawa pulang pizza kegemaran.

Pizza yang dibeli bukan sahaja kerana ianya makanan kegemaran mereka sekeluarga, tetapi juga kerana mendapat diskaun dari flyer / voucher yang dimasukkan dalam peti surat pagi semalam.

Kebetulan pula hari ini hari gaji ayah Aiman.

Apa lagi, Mak Mah pun terus sediakan ayat mengelak dari menyediakan makan malam.

Aiman digunakan sebagai tukang mencocok voucher supaya ayahnya dengan rela dan lembut hati berbelanja Pizza untuk malam nanti.

iklan-Pizza-Hut
Gambar dari iklan Pizza Hut

Dengan skrip semula jadi dari Mak Mah, Aiman tak terasa seperti mencocok dan ayahnya pula tak terasa seperti dicocok. Dalam perjalanan balik dari kerja ayah Aiman singgah di Restoren Pizza.

Mereka sekeluarga makan dengan riang dan tenang. Kakak dan abang Aiman yang baru keluar dari bilik study juga makan tanpa kata apa-apa.

Senyuman mereka selepas sendawa sudah cukup jelas sebagai penanda aras hati yang puas.

iklan-pizza-dari-Domino-atau-Pizza-Hut
Dari iklan pizza juga, tak pasti dari Domino atau Pizza Hut.

Tidak ada secuit pun dibazirkan. Licin. Andainya kotak pizza itu boleh dimakan, itu pun agaknya habis juga.

Begitulah… Ayah Aiman tak pernah kecewa dengan hidangan pizza yang dibeli. Samada makan di restoren atau bungkus makan di rumah.

Rasa tetap sama. Rupa juga hampir sama seperti yang tertera dalam gambar flyer. Setiap kali membeli, hatinya yakin. Tak ada was-was. Kualiti seakan terjamin.

Mahal sikit dari pizza yang dijual di pasar malam atau di tepi jalan. Tak apa. Hatinya puas, perut kenyang, keluarganya girang.

Dapat Order Karipap

“Mak… ini, terlupa nak bagi tadi. Tersimpan dalam buku.” Aiman menunjukkan kertas yang mengandungi pesanan untuk karipap sardine dan telur kepada Mak Mah.

“Dah nak tidur baru bagi. Tadi petang main banyak buku tak buka.” Bebel Mak Mah.

“Tak apa lah Maa… bukan nak hantar esok pun karipap tu. Cikgu order tadi, untuk buat majlis perpisahan Guru Penolong Kanan. Dia naik pangkat jadi Pengetua kat sekolah lain pula.” Sambung Aiman tanpa rasa bersalah.

Begitulah… Aiman sering mendapat tempahan kueh, terutama karipap yang menjadi kepakaran ibunya membuat.

Bermula dengan membawa bekal, dan dicuba oleh kawan-kawan. Kemudian jadi bahan juadah untuk jamuan keraian seorang kawan.

Karipap-Kak-Dah-inti-penuh
Karipap Kak Dah dari FB Ahmad Rushdi Mat Lazim

Rentetan dari peristiwa itu, hari ini setiap kali ada majlis yang memerlukan jamuan di sekolah, karipap Mak Mah sentiasa mengisi satu dari ruangan juadah.

Bukan sekadar jamuan sekolah Aiman sahaja, malah dibeberapa tempat lain atas saranan Cikgu sekolah Aiman yang terlibat dalam majlis tersebut.

Maka Mak Mah hanya fokus kepada satu dua jenis kueh, terutama karipapnya.

Cukup untuk memenuhi masanya di rumah. Ada ketika pesanan diterima terus melalui WhatsApp.

Anak-anak dah besar, Mak Mah punya masa untuk memenuhi tempahan pelanggan tanpa menggangu rutin hariannya untuk keluarga. Menjana duit sendiri untuk membeli barangan kesukaan tanpa perlu kacau gaji suaminya.

Mak Mah pula tak kedekut. Sebahagian dari untung jualan dikongsikan dengan anak-anaknya.

Aiman serta abang dan kakaknya pula suka membantu. Termasuk membuat penghantaran COD bila perlu. Mungkin dari ransangan perkongsian untung. Juga sebagai latihan tentang selok belok dan seni berniaga dan penekanan tentang penjagaan kualiti.

Ayah Aiman pula sangat menyokong kerja sampingan Mak Mah. Anak-anaknya tidak terlalu melekat dengan handphone bila mendapat tempahan. Suasana riuh rendah sakat menyakat menjadi hiburan baginya.

Inti-penuh-dari-gigitan-pertama-hingga-terakhir-Pau-Pak-Ngah
“Inti penuh dari gigitan pertama hingga terakhir - Pau Pak Ngah.” Ayat pemasaran bila terbukti dengan kualiti yang kekal terjaga pasti melekat dalam ingatan pembeli. Tiada was-was dan keraguan untuk terus membeli. Gambar:- FB Hasbul Aqil.

Dari kualiti yang dijaga rapi (ada SOP), hasilnya Mak Mah mendapat tempahan berulang-ulang walau pun tanpa perlu diundang.

Sama sebabnya kenapa dia mengayat supaya Aiman memujuk ayahnya membeli pizza. Ia itu dari rasa gian terhadap kesedapan dan aromanya yang perlu dipenuhi sekali atau dua dalam sebulan.

Penetapan Harga Jualan

Pengalaman memudahkan Mak Mah membuat perkiraan kuantiti bahan dan kos yang diperlukan untuk memenuhi permintaan.

Dari situ dia menetapkan MOQ (minimum order quantity) bagi setiap tempahan. Supaya kutipan dari jumlah jualan dapat memberikan pulangan yang berbaloi.

Pulangan yang meliputi kos bahan utama, kos peralatan, kos bahan sampingan, upah, dan untung bersih.

Mak Mah memang sudah ada template pengiraan kos dan penetapan harga. Harga pasaran menjadi ukuran asas.

Harga jualan akan dinaikkan apabila kos bahan meningkat pada tahap yang ianya tidak boleh diserap lagi.

Bukan main suka-suka atau agak-agak.

Mak Mah mengasingkan akaun modal dan akaun untung bersih. Sebahagian dari untung bersih dimasukkan ke dalam akaun modal. Maka keupayaan modalnya sentiasa meningkat.

Akaun untung bersih selalu turun naik bila ada tambahan jualan atau ianya digunakan untuk perbelanjaan hal peribadi.

Penjagaan Kualiti dan Mengambil Hati Pelanggan

Pizza yang dibeli oleh suaminya tadi ada ketikanya didatangkan dengan hadiah sampingan atau pun dengan diskaun tertentu. Namun kualitinya tidak berbeza.

Begitu juga dengan karipapnya. Apabila order melebihi MOQ, Mak Mah akan memberikan potongan harga pukal. Atau pun tambahan pada jumlah yang dipesan.

Apabila harga perlu dinaikkan, ia akan dimaklumkan supaya pelanggan tak terkejut beruk.

Dia juga tidak berkompromi dengan kualiti seperti mengurangkan bahan tertentu atau mengecilkan saiz karipapnya untuk mengurangkan kos.

Karipap-angin-oxygen
Karipap angin / oxygen. Gambar:- BloggerBar Media Online & FB Nur Nazihah

Mak Mah tahu dan biasa dengar tentang “karipap angin.” Memang ada untung lebih untuk sekali jualan.

Tapi sangat besar kemungkinan hanya sekali itu saja yang terjual kepada pembeli yang teraniaya.

Kerana mereka akan ingat dan tak akan beli lagi. Malah akan memberitahu kawan-kawan mereka. Lebih parah apabila diviralkan dalam media sosial.

Maka habislah…

Dan Mak Mah juga mengerti, dalam perniagaan kos untuk mendapatkan pelanggan baru itu lebih mahal (dan susah) dari mengekalkan pelanggan setia yang sedia ada.

Malah pelanggan setia ini pula yang akan menjadi juru jual atau ejen pemasaran. Orang akan lebih yakin untuk membeli apabila saranan (recommendation) datang dari kawan mereka.

Bukan dari penjual yang dilihat ada kepentingan untuk membuat untung.

karipap-Bangi-dari-Haffis-Malik
Bagi yang berdekatan dengan Bangi, boleh oder karipap macam gambar ini dengan Haffis Malik. Inti penuh dari hujung ke hujung. Tengah-tengah… tak yah cakap lah.

Kesimpulan

Jujur dalam perniagaan itu sama pentingnya dalam apa juga bidang pekerjaan. Bila makan gaji masa, ilmu, dan kepakaran ditukarkan dengan duit.

Dalam perniagaan ianya pertukaran antara produk / servis dengan duit.

Mountain-bike-rough-rider
Gambar hiasan:- theheavenlife

Menunggang basikal dalam hutan bukan boleh buat sembaragan. Namun apabila terbiasa dengan latihan beserta dengan kelengkapan yang cukup, ianya menjadi mudah.

Malah menjadi satu kesukaan. Apabila sudah mahir dan cekap boleh masuk pertandingan.

Begitu juga dengan berniaga dan perniagaan. Ilmu dan latihan sangat penting. Kenali selok belok lurah dan gaung. Disailang oleh tunggul dan akar itu biasa. Tersalah keputusan dan tindakan boleh tersungkur. Yang jujur dan ikhlas akan terus mara.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.