Pertahanan Diri Dan Pemulihan Bisnes Dari Sihir - CrazyDuck -->

Header Ads

Pertahanan Diri Dan Pemulihan Bisnes Dari Sihir

Keluarga kamu lebih memerlukan wang ini. Ada orang walaupun sedang dilanda kesusahan, tapi ada kelas. Air bukit yang diminta air paip yang dibawa. Ada pula orang yang kalau dia rasa boleh lepas dengan menipu dan ambil jalan singkat, dia akan menipu.
air-terjun-dari-bukit-sungai
Gambar: FB Nahar Adam

Ada Orang Hatinya Sangat Ikhlas Ada Pula Yang Suka Menipu (Bah. 4)

Sambungan dari episod lepas... Orang itu terus mahu memberi wang kepada Pak Helmi. Ini kerana dia terlalu berterima kasih terhadap panduan yang diterimanya.

Panduan yang membuka jalan kepada penyelesaian masalah yang sedang dihadapi. Kebuntuannya terurai. Kelegaan jelas terpancar diwajahnya.

Lalu Pak Helmi mengambil duit tersebut dan memasukkannya ke dalam saku orang itu sambil berkata, “Hanya ini wang yang kamu ada. Di rumah, keluarga kamu lebih memerlukan wang ini. Saya faham maksud baik dan keihklasan kamu.”

Keyakinan kami dengan Pak Helmi bertambah kuat apabila satu hari di depan kami ada seorang pengunjung yang membawa air.

Air yang diminta oleh Pak Helmi ialah air bukit. Tetapi orang ini membawa air paip.

“Ada bawa air bukit?”

Dan orang itu memberikan botol airnya.

Pak Helmi tidak mahu menerima botol itu dan dengan tegas berkata itu air paip. Dan orang itu mengaku. Lalu disuruh datang lain kali dengan air bukit yang sebenar.


Moralnya pada aku dari cerita En. Halim di atas: Ada orang walaupun sedang dilanda kesusahan, tapi jiwa dan peribadinya ada kelas. Ada pula orang yang kalau dia rasa boleh lepas dengan menipu dan ambil jalan singkat, dia akan menipu.

Bekalan Amalan

Kami berulang alik untuk beberapa kali. Kami tidak diminta membawa apa-apa. Setiap kali kami datang diberikannya ayat al-Quran dan Selawat tertentu untuk diamalkan.

Selesai melakukan apa yang disuruhnya kami datang lagi. Memberikan update apa yang telah kami lakukan. Contoh amalan yang disuruhnya ialah:-
• Membaca Ayat Qursi sebanyak 4,444 kali. Kami mengambil masa seminggu untuk melengkapkan bacaan.
• BismillahirRahmanNirRahim. 1,000 kali pada waktu tengah malam dan habis sebelum masuk subuh.
• Surah Al-Falaq: 41 kali, Surah An-Nas 41 kali setiap hari
• Selawat Tarfijiah: 11 kali selepas Maghrib dan Subuh
• Selawat Munjiah: 11 kali selepas Isya’
• Ada lagi beberapa ayat dan doa yang lain… tapi Pak Helmi pesan apa yang dibaginya hanya sesuai untuk saya saja. Lain orang lain ayat dan kombinasi doa yang diberikan.

Contohnya, untuk Puan Maryam Surah Al-Falaq dan An-Nas tu diganti dengan Surah lain.

Sebenarnya ada beberapa orang Ustaz dan pengamal ilmu ghaib / batin lain yang kami berjumpa. Kalau tak silap semuanya tak kurang dari 20 orang. Yang saya cerita tadi tu baru 4 orang.

Saya nak ceritakan lebih dalam sikit pasal Ustaz Abbas ni.

Menghindarkan Gangguan Pada Perniagaan

Serentak dengan kunjungan kami ke Kati, sekali sekala kami juga singgah di tempat Ustaz Abbas.

Kami diperkenalkan oleh salah seorang pengunjung yang membawa anaknya untuk dirawat oleh Ustaz Yussof.

Ustaz Abbas ini specialty-nya ialah pemulihan dari sudut perniagaan.

Sewaktu pertama kali kami mengunjungi dia, Shah yang berniaga nasi Kandar di Kapar tu ada sekali. Ketika menunggu giliran, kami bertanya. Dan dia cerita kisahnya seperti yang saya ceritakan awal-awal tadi.

Ketika itu dia mahu menjemput Ustaz Abbas ke Kapar. Dia juga ajak kami untuk ke Pulau Besar. Tapi kami menolaknya. Antara sebabnya ialah itu adalah kali pertama kami mahu berjumpa dengan Ustaz Abbas. Belum tahu apa-apa.

Setelah dipanggil masuk, dia bertanya dan kami ceritakan masalah kami. Terutama dari sudut perniagaan dan keadaan rumah tangga yang berserabut.

Menggunakan alat khas dia mencucuk ibu jari kami. Alat tu tumpul jer pun.Tapi sakitnya… Masya’Allah. Sungguh sakit. Seolah-olah ditusuk dengan benda tajam dan menembusi kulit sampai ketulang.

Sama seperti sakitnya apabila Ustaz Yusoff meletakkan lada hitam.

Lalu dia mengeluarkan beberapa biji limau nipis. Dia juga mengambil dua batang lilin.

Katanya limau nipis digunakan untuk mandian selama 3 hari berturut-turut. Mandi dilakukan sebelum masuk waktu maghrib.

Perahan limau dimasukkan ke dalam baldi dan dicampur dengan air. Satu baldi dikongsi ramai-ramai. Ambil seorang satu cedok. Air limau sebagai jirusan terakhir.

Manakala lilin untuk dibakar diwaktu malam. Satu diletakkan dalam pinggan dan satu lagi dalam piring kecil yang diletakkan di atas beras dalam satu bekas. Ini gambarnya.

dua-set-lilin-yang-memberikan-maklumat-perkara-ghaib
Lilin dibakar dan bekas bakaran memberikan maklumat akan hal ghaib

Peninggalan lilin setelah habis dibakar perlu ditunjukkan kepadanya keesokkan hari. Dia dapat membaca apa maksud baki lilin dan juga jika ada sesuatu berlaku pada beras.

Apabila ditunjukkan kepadanya bekas pembakaran lilin, dia hanya mengangguk tetapi tidak memberitahu apa-apa. Kemudian memberikan kepada kami satu set lilin yang mempunyai 21 batang.

Bermaksud pembakaran setiap malam selama 21 hari. Saya tak faham apa maksud dan kegunaannya. Ikut sajalah.

Bekas-pembakaran-lilin-boleh-dibaca-oleh-pengamal-ilmu-ghaib
Set pertama peninggalan 21 batang lilin dengan batang terakhir.

Lagi-2-set-lilin-yang-mengambil-masa-21-hari-bagi-setiap-set
Set kedua dan ketiga. Setiap set memakan masa 21 hari.

Tanya banyak-banyak nanti dia tak suka pula. Seperti mempersoalkan kewarasan atau logic bagaimana lilin yang dibakar boleh memberikan maklumat. Lagi pun bukan ada unsur syirik atau seumpamanya.

Saya ambil konsep mudah. Nak halau nyamuk bakar ubat nyamuk. Ada unsur dalam asap yang dikeluarkan itu yang membuatkan nyamuk tak suka atau menyebabkan ia mati.

Pada suatu hari kami membawa bekas pembakaran yang baki lilinnya tinggal amat sedikit. Yang ini setelah beberapa kali kami selesai membakar set yang mengandungi 21 batang lilin

“Bolehlah kalau nak ikut pergi ke Pulau Besar.” Kata Ustaz Abbas selepas melihat rupa bentuk baki lilin tersebut.

Itulah kali pertama dia mengajak. Padahal sebelum ini sudah beberapa kali dia pergi tapi tak pernah menyuarakan. Kami bersetuju… maka itu pasal lah kita berjumpa di sini hari ini.

Aktiviti Di Pulau Besar

Selama 3 hari 3 malam kami di Pulau Besar rutin agak ketat dan padat. Setiap waktu solat berjemaah di surau. Antara maghrib dan Isya’ kami mengikuti program yang diadakan oleh pihak surau.

Selepas Isya’ kami ambil rehat tidur sebentar sehingga lebih kurang jam 12 malam. Mulai tengah malam kami melakukan solat tahajjud. Kemudian diikuti dengan bacaan Yaasin beramai-ramai.

Sesiapa yang mahu membuat air Ayat Yaasin disarankan membawa botol air yang dibuka tudungnya ketika pembacaan Yaasin dilakukan.

Selepas itu masing-masing dibenarkan membuat hal sendiri. Saya lebih kepada mempraktikkan wirid dan zikir yang saya ambil dari Pak Guru dan Pak Helmi. Rasa dan kesannya pada jiwa tak sama berbanding bila kita lakukan di rumah.

Kami berhenti setelah masuk waktu subuh.

Selepas subuh kami sarapan. Ada beberapa buah kedai makan di situ. Kemudian mandi. Diikuti dengan solat Dhuha. Tidur sekejap di Chalet sehingga masuk Zohor. Antara Zohor dengan Asar kami bertahlil dan berdoa.

Kawasan-Bukit -Pulau-Besar

Pinggiran-pantai-Pulau-Besar

Dihari kedua kami melawat kawasan. Naik-turun bukit, masuk hutan, pergi ke tepi pantai. Lapangkan fikiran. Cuma yang tak berapa syioknya ialah di dalam gua di kawasan bukit, banyak peninggalan yang kurang baik.

Seperti ada orang melakukan “penurunan”, iaitu pemujaan. Mungkin untuk dapatkan nombor ekor atau yang sewaktu dengannya.

Malam terakhir solat hajat dilakukan. Ustaz Abbas membacakan Surah Al-Baqarah pada rakaat pertama. Tak pasti lengkap keseluruhan atau separuh. Tapi sangat lama. Rakaat kedua Surah Yaasin, lengkap.

Ketika wirid, zikir, dan doa beberapa kotak lilin yang kotaknya sudah dibuka diletakkan di hadapan. Juga beberapa beg plastik yang mengandungi limau nipis.

Barulah jelas kepada saya yang limau dan lilin yang diberikan kepada kami sebelum ini semuanya sudah berjampi.

Air kolah ni Ustaz Abbas kata untuk mandian juga. Tak tahu tatacaraya lagi. Mungkin sama dengan yang sebelum ini, mungkin lain. Nanti masa kat Kapar saya akan tanya.

Gambar: Muhammad Zuhairi Zuber

Masa Untuk Berpisah

En. Halim menamatkan ceritanya di situ. Gegaran HPnya mungkin isyarat yang kawan-kawannya sudah sampai di Masjid Kampung Hulu.

“OK lah… kami kena bergerak sekarang. Insya’Allah ada rezeki kita jumpa lagi. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita kami. Ambillah yang baik. Kalau ada yang merapu… abaikan saja.”

“Terima kasih atas kepercayaan En. Halim kepada saya dan kesudian berkongsi pengalaman. Ia sangat mahal bagi saya. Selamat jalan moga Allah permudahkan perjalanan En. Halim dan keluarga.”

“Terima kasih… Insya’Allah. Assalamu’alaikum.”

Kami berjabat tangan dan aku duduk mencatit apa yang diceritakan supaya tidak terlupa. Maka artikel ini adalah hasilnya. Ada 16 orang lagi Ustaz yang tak diceritakan kisahnya oleh En. Halim. Apa pun... aku sangat berharap perniagaannya pulih cemerlang semula.

Yang memberi kesembuhan itu adalah Allah swt. Tapi kita dituntut berusaha mengubati segala penyakit yang ada bukan redho semata-mata.
- Mai Harun

Harap artikel ini telah memberikan sesuatu kepada anda. Sudikan tekan butang bawah ni, ya... Terima Kasih.

No comments

Sila tinggalkan pendapat dan pandangan anda. Terima Kasih.