Dilema Seorang Anak Dara Kampung Berijazah Kejuruteraan - CrazyDuck -->

Header Ads

Dilema Seorang Anak Dara Kampung Berijazah Kejuruteraan

Selepas pemergian ibunya akibat penyakit kencing manis Asmahani setiap hari berulang alik dari K. Kurau ke Penang. Dia dalam dilema samada mahu tumpukan kepada kareer dan punya pendapatan sendiri atau tinggal bersama ayahnya di kampung. Belum berumah tangga satu lagi perkara yang mengusik fikirannya.
Gambar hiasan: Zulhafidz Yahaya

Kisah Anak Gadis Dengan Ayahnya

Minggu lepas selepas solat Jumaat aku menghadiri jemputan kenduri arwah. Jiran berdekatan meninggal dunia kerana penyakit kencing manis.

Umurnya awal lima puluhan.

Sebelum itu, aku juga menerima panggilan dari kenalan lama akan permergian seorang Cikgu kami. Cikgu semasa sekolah menengah. Juga akibat kencing manis.

Semalam aku mendapat perkhabaran dari seorang kawan yang baru pulang dari menziarahi saudaranya di Kuala Kurau, Perak.

Tentang seorang gadis berijazah lepasan university yang dalam dilemma. Pentingkan kareer atau berkorban untuk ayahnya kerana pemergian si ibu.

Juga akibat kencing manis. Cerita kali ini bukan hal kencing manis tetapi akan hal gadis bernama Asmahani.

Tamat Pengajian Dengan CGPA Baik Punya

Dua tahun lalu Asmahani menamatkan pengajian dalam bidang Electrical Engineering dari sebuah Universiti. Dia kemudiannya mendapat pekerjaan di Pulau Pinang sebaik saja habis pengajian.

Disamping seorang pelajar cermerlang, Asmahani juga seorang anak yang sangat baik terhadap ibu-bapanya.

Kegembiraan mendapat Ijazah dengan CGPA tahap Dean’s List dan pekerjaan di kilang electronic antarabangsa di Pulau Pinang hanya bertahan selama setahun lebih.

Ibunya mendapat penyakit kencing manis. Sewaktu ibunya sihat dia balik ke kampung di Kuala Kurau sekali atau dua dalam sebulan.

Sejak keuzuran ibunya Asmahani balik setiap minggu untuk menemani ibunya.

Masa terus berlalu.

Kesihatan Ibu Asmahani tidak pulih malah semakin teruk.

Kaki kirinya terpaksa dipotong untuk mengelakkan virus dari merayap ke bahagian sensitif yang mudah dijangkiti. Seperti paru-paru.

Enam bulan kemudian ibu Asmahani pergi menemui PENCIPTAnya.

Si Anak Tunggal Yang Serba Salah

Sebagai anak tunggal, Asmahani dalam keadaan serba salah. Mahu terus menetap di rumah sewanya di Pulau Pinang atau tinggal di kampung bersama ayahnya?

Penang-Bridge
Penang Bridge Traffic Jam - relax-mind.blogspot.com

Sekiranya duit sebagai ukuran, kos minyak, tol, penyelenggaraan kereta dan makan minum dalam perjalanan sudah hampir RM 2,000 sebulan.

Sebahagian besar duit gaji habis untuk perjalanan saja. Penat jangan cerita lah.

Tambahan pula jem diwaktu pagi dan petang semasa balik di Jambatan Pulau Pinang. Satu hari 3 jam sudah tentu masa dihabiskan dalam kereta.

Mahu saja dia mengajak ayahnya tinggal bersama di Pulau Pinang. Tapi mahukah ayahnya?

Swan-duck-in-a-row
Gambar: FB Rubiah Abdullah
Dengan sawah bendang ayam itik dan kucing kesayangannya tu… Pulau Pinang mana ada semua tu.

Rumah menyayup tinggi dan dikelilingi oleh hutan batu.

Sempit pulak tu tak ada ruang selain duduk dalam rumah saja. Sangat jauh berbeza dengan suasana tenang di kampung.

Kawasannya luas. Kucing nak berak pun senang. Kokokan ayam menjadi penghibur dan pemberitahu masa bagi ayahnya.

Asmahani memendam rasa. Antara penat ulang alik pergi kerja dengan kasih sayang terhadap ayahnya.

Ayah yang kesunyian setelah ibunya pergi akibat kencing manis. Memang sudah suratan ibunya pergi dulu.

Tapi hidup perlu diteruskan.

Sekalipun Jarang Berbual Rasa Kewujudan Itu Sudah Mencukupi

Ayahnya pula bukan jenis kaki yang suka makan di luar.

Ini pesanan ibunya. “Bila mak dah tak ada nanti, tolong jaga makan minum ayah hang. Dia tak suka makan di luar.”

Dan kebetulan pula ayah si Asmahani memang menyukai masakannya. Ilmu masakan yang diturunkan oleh si emak.

Pesanan itu ibarat wasiat baginya.

Asmahani juga mengerti akan kesunyian yang dialami oleh ayahnya.

Pernah dia terpaksa tidak balik selama seminggu kerana ada tugasan di luar negara.

Selepas pulang, dia dapat melihat riak wajah ayahnya yang penuh dengan keceriaan bila dia ada di rumah.

Sungguh pun mereka tidak kerap berbual panjang, namun kewujudan (presence) Asmahani sudah memadai bagi ayahnya.

Asmahani sangat memahami sikap dan perangai ayahnya. Juga sebagai seorang yang sudah berumur.

Orang bila sudah meningkat usia tua tahap sensitivitinya sangat tinggi. Dan cepat terasa hati.

Ini kerana apabila dia sendiri pernah tinggal di rumah sewa.

Bersendirian...

Terasa amat kekosongannya setelah kawan-kawan yang datang bertandang pergi. Hanya alunan bacaan Al-Quran dari MP3 yang menjadi teman mengisi sepi.

Begitulah dengan ayahnya juga. Apabila ada seseorang lain di dalam rumah, rasanya sangat berbeza. Walau pun tidak bersembang borak.

The presence is sufficient to make someone feel appreciated.

Apa Pilihan Asmahani dan Kesannya

Asmahani memikirkan apa tindakan yang harus dilakukan. Dia mengerti apa juga tindakan yang di ambil akan mencorakkan kehidupannya di masa hadapan.

Dia hanya ada 2 pilihan. Teruskan pekerjaan sekarang atau berhenti.

Dia tidak mahu menyuarakan kepada ayahnya supaya tinggal bersamanya di Pulau Pinang.

Mana mungkin ayahnya mahu.

Sekalipun ayahnya mengikut cadangannya, lambat laun ayahnya akan bosan dengan suasana yang berlainan. Tambah memberikan tekanan jiwa nanti.

Teruskan Pekerjaan dan Berulang Alik Dari Kuala Kurau Ke Pulau Pinang?

Sekiranya dia tetap dengan pekerjaan yang disukainya dan mahu terus bersama ayahnya, dia perlu berulang alik.

Bukan setakat kos perjalananan yang perlu ditanggung. Risiko di jalanan akibat mengantuk atau kepenatan juga perlu diambil kira.

Setiap kali selepas solat dia membacakan doa supaya Allah mengasihani ibu ayahnya, tetapi dia sendiri seperti mementingkan diri.

Dengan memberikan perhatian kepada kareer lebih dari kebahagiaan ayahnya.

Terselit rasa bersalah dihatinya.
"Allahhummaghfirli dzunubi waliwalidayya, warhamhumma kama robbayani soghiro"

"Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah segala dosa kesalahan ku dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa ku, serta kasihanilah kedua ibu bapa ku sebagaimana mereka berdua mengasihi aku semasa masih kecil."
Seperkara lagi ialah dia belum mempunyai calun pasangan hidup.

Berterusan dengan ulang alik kerja tidak mungkin membuka peluang untuknya berkenalan dengan bakal suami.

Dulu sewaktu di Universiti dia sibuk dengan pelajaran. Tidak sempat untuk berpacaran. Kini terlalu sibuk di jalanan.

Dan tak memberikan dosa percuma kepada ayahnya. Kerana tidak berpacaran dengan yang bukan muhrim.

Jodoh dan Nasib

Ya… memang. Jodoh itu di tangan Tuhan. Apakah tak perlu berusaha dan hanya tunggu nasib saja?

fitprettylife.wordpress.comgalah-kait-kelapa
Tak nak turun sendiri kait saja lah

Tentang nasib…

Asmahani tahu nasibnya sangat baik kerana mendapat keputusan cemerlang sewaktu di Universiti.

Nasibnya juga baik mendapat kerja yang diimpikan dengan gaji yang baik hanya selepas tamat pengajian.

Dan dia juga tahu nasib itu menyebelahi orang yang merancang dan berusaha… bukan menunggu seperti bila buah kelapa ayahnya nak jatuh.

Padahal buah kelapa itu boleh saja dikait atau suruh beruk panjat dan petik.

Susah-susah sangat… pergi jer beli santan yang dalam kotak.

Work hard and work smart… nothing comes to someone who keeps on waiting. Kecuali menunggu bas di tempat dan pada waktu yang betul.

Berhenti Kerja Duduk Rumah Tunggu Orang Masuk Meminang?

Sekiranya dia berhenti dari pekerjaannya sekarang dan memberikan perhatian kepada ayahnya, ada beberapa perkara yang perlu dipersetujui oleh ayahnya.

Ayahnya orang yang berduit juga. Hasil pendapatan dari tanah sawah dan kebun kelapa yang disewa dan dipajakkan.

Moga ayahnya bersetuju untuk melunaskan hutang keretanya. Kereta itu penting untuk kedua mereka pergi ke mana saja.

Untuk makan dan pakaian ayahnya masih mampu akan hal itu semua.

Dia juga boleh mencari pekerjaan di bandar berdekatan sekiranya terlalu bosan menemankan ayahnya di rumah nanti. Yang pasti pekerjaan itu bukan sealiran dengan kelulusannya.

Dan masa 3 jam sehari tidak perlu dihabiskan di atas jalan. Kos perjalanan juga murah. Rumah sewa tidak diperlukan.

Tentang jodoh pula, apakah ada orang kampung yang berani masuk meminang gadis berkelulusan ijazah kejuruteraan?

Dia tak kisah siapa bakal suaminya. Ayahnya orang kampung tapi sikap dan perangainya baik.

Tentu sekali ayahnya akan menerima sesiapa saja yang cocok pada pandangannya. Bukan unsur duit dan pangkat semata-mata.

Mana mungkin seorang ayah tidak memilih siapa bakal suami kepada anaknya?

Bukan hanya lelaki yang boleh memilih siapa yang mahu diperisterikan, tetapi wanita juga punya pilihan siapa yang nak disuamikan.

Sedia Berkorban Untuk Kebahagiaan Ayah

Dalam kepalanya… biarlah apa yang berlaku. Perkara utama ialah membahagiakan ayahnya yang sudah semakin tua.

Bila lagi mahu berkorban untuk ayah? Untuk ibu sudah tak ada lagi.

Masa ibunya hidup dia asyik berjauhan. Bersekolah asrama dan belajar di Universiti mencari ilmu.

Hanya sekejap dapat bersama dan membahagiakan ibunya.

Itulah dilemma si anak dara kampung berijazah kejuruteraan bernama Asmahani.

Cerita yang disampaikan oleh empunya diri kepada isteri kawan aku. Dan kawan aku ceritakan pula kepada aku. Maka aku ceritakanlah dalam penulisan kali ini.

Sekiranya anda berada di kedudukan anak dara ini, apakah yang anda fikir akan anda lakukan?

Pentingkan kareer, duit carian sendiri, make-up kasi cun lawa anggun gebu aum meleleh, tune kereta, cari calun bakal suami, ayah yang perlukan perhatian, mahu hidup di bandar besar, atau bagaimana?

Bersambung...

Mohon LIKE boleh? Tekan salah satu butang di bawah. Terima kasih... sila datang lagi di page yang lain.